"Lagu nasyid sekarang aku dengar dah macam lagu rock pun ada", ngomel seorang rakan.

"Eh! Lagu nasyid ke ni? Stailo tu.. Siap buat rap lagi. Ni yang aku suka ni", berkata pula rakan yang lain.

"Aku rindukan lagu nasyid yang dulu-dulu. Lagunya halus mendidik jiwa", keluh seorang peminat.


Benarkah lagu-lagu nasyid sekarang kurang mendidik jiwa? Adakah kerana irama lagu yang diketengahkan sekarang atau artis-artis nasyid sekarang kurang memberi aura mendidik kepada peminatnya? Terlalu banyak kontroversi yang melanda industri nasyid tanah air, sehingga memberikan impak yang negatif kepada para munsyid.

Nasyid dahulu dan sekarang terlalu banyak bezanya. Jika dahulu, irama padang pasir dan alunan perkusi menjadi penyeri dalam industri nasyid. Kerana itulah lagu-lagunya kurang rancak dan banyak menumpukan soal melodi, dan kebanyakkan lembut untuk didengar. Bait-bait liriknya juga amat ringkas tetapi padat dengan input-input yang tepat dalam penyampaian mesejnya.

Ingat lagi dengan lagu Intifada, Pergi Tak Kembali dan Satu Qiblat Yang Sama nyanyian kumpulan Rabbani? Apakah yang membezakan lagu-lagu ini dengan lagu-lagu lama kumpulan Rabbani? Ya. Muzik yang membezakannya. Lagu-lagu sekarang sudah ke arah pop dan banyak menggunakan alatan muzik moden bagi memberi kelainan dalam penyampaian lagu-lagu tersebut.

IRAMA DAN PERSPEKTIF MASYARAKAT


Muzik Rock, R&B, dan Rap telah 'menjajah' industri muzik di Malaysia dan dunia keseluruhannya. Pakaian yang agak ganas, terkinja-kinja di atas pentas, dan macam-macam lagi karenah yang ditunjukkan penyanyi-penyanyi genre tadi telah memberi identiti kepada penerimaan masyarakat kepada muzik tersebut.

Rock dengan rambut panjang dan seluar jeans koyak. Rap dengan topi senget dan seluar besar mengalahkan guni. Dangdut dengan aksi goyang gerudinya. Zapin pula dengan lenggok tariannya. Pendek kata, setiap genre muzik itu mempunyai identitinya yang tersendiri termasuklah nasyid yang terkenal dengan imej 'ustaz' yang berkopiah dan sopan.

"Hai nasyid sekarang ni, dah nak ikut artis-artis rock ke? Lagu dah guna gitar ni, jangan terkinja-kinja atas pentas sudah", seorang peminat memberi 'amaran' keras.

"Baguslah nasyid dah macam-macam muzik. Lagi ramai la yang boleh terima", seorang peminat lagi memberi pendapat.

KONTRA NASYID SEKARANG

"Lihatlah penyanyi nasyid sekarang. Ramai yang tak berapa nasyid dah. Dah jadi artis rock pun ada", seorang makcik berkata kepada saya suatu ketika dahulu.

Penampilan Faizal Tahir sebagai artis Rock tanah air menjadi perbualan hangat peminat-peminat nasyid. Mungkin kebanyakkan orang tidak mengetahui yang dahulunya beliau adalah ahli kumpulan nasyid yang agak terkenal di Malaysia. Dengan isu membuka baju ketika persembahan telah mencalarkan imej nasyid secara tidak langsung di mata peminat. (Moga Allah membetulkan segalan khilaf ini)

Fenomena perubahan muzik iringan juga membuatkan peminat-peminat nasyid yang berjiwa irama lama berasa terkilan. Peminat-peminat ini kebanyakkan sudah 'kecewa' dengan apa yang berlaku sekarang. Bagi mereka, lagu nasyid sekarang sudah hilang seninya.

Kesimpulan bagi pandangan negatif ini ialah penasyid sudah tidak membawa apa yang di'nasyid'kan itu. Dan lagu-lagu bergenre moden sudah tidak dapat mendidik jiwa lagi seperti dahulu.

PRO NASYID SEKARANG

Apabila dengar nasyid, terasa diri 'terbakar' dan 'panas'!

Pengalaman sewaktu kumpulan All One mempersembahkan lagu Bilal Bin Rabah dalam versi rock memberi kesan kepada rakan-rakan saya yang kurang berminat dengan lagu-lagu nasyid. Lagu Bilal Bin Rabah tersebut bertepatan dengan 'jiwa' rakan-rakan yang meminati muzik rock. Secara tidak langsung mereka dapat mendapat info tentang perjuangan Bilal Bin Rabah.

 Inteam dan Opick

Ala-ala Shah Rukh Khan berguling di tengah taman bersama si Kajol sambil menyanyi lagu romantisnya.

Begitu juga dengan lagu Allahu Rabbi dari Inteam dan lagu Allahu dari Raihan (bukan dari segi berguling-guling), alunan Hindi diberi pilihan baru kepada peminat lagu-lagu Hindi di Malaysia. Pilihan yang menjadikan Allah sebagai 'lirik'nya.

Jika dahulu nyanyi "Kuch Kuch Hota Hai", sekarang sudah "Allahu.. Allahu.. Allahu.." (Allahu - Raihan). Satu perkembangan yang menarik.

LAGU BUKAN SEKADAR LAGU

Setiap lagu itu mempunyai 'roh' yang tersendiri. Sesetengah lagu dapat memberikan kesan yang besar kepada para pendengarnya. Walaupun irama nasyid berubah bentuk mengikut perubahan zaman, tetapi jauh di sudut erti lagu tersebut, terselit satu dakwah yang ingin disampaikan kepada para pendengarnya.

Perubahan dalam bentuk irama nasyid banyak diusahakan yang bertujuan untuk menarik pendengar-pendengar baru khususnya peminat genre-genre muzik yang lain untuk lebih meminati nasyid. Fenomena ini juga bertujuan untuk memberi alternatif kepada masyarakat dalam bidang hiburan.

Kita sukar untuk memaksa pendengar untuk menukar minat mereka daripada meminati muzik Hindi kepada meminati irama padang pasir. Jadi usaha yang dilakukan ialah dengan menggubah irama lagu yang bersesuaian dengan selera pendengar.


Dengan kesedaran yang disebabkan oleh masalah-masalah ini, para munsyid berusaha untuk mengembalikan 'roh' nasyid yang semakin hilang itu. Maka satu program telah dicadangkan yang diberi nama MAJLIS USRAH MUNSYID.

Program ini adalah kesinambungan daripada usaha yang dipraktikkan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Usrah ini mengumpulkan para munsyid dalam satu masa dengan memberi tazkirah dan memuhasabah diri sebagai seorang pendakwah. Selain itu juga, peranan usrah ini ialah untuk mengeratkan hubungan, bertukar-tukar pandangan dan memantapkan keimanan di antara para musyid.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang program ini, boleh klik (di sini)

"Teruskan perjuangan kalian dalam dakwah melalui seni ini walaupun hanya tinggal seorang yang mendengar lagu kalian. Kita tidak boleh memaksa anak-anak kita mendengar lagu kita di TV dan radio. Tetapi kita perlu menyediakan alternatif kepada mereka supaya mereka tahu seni dapat mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya" - (Opick)

Moga imej nasyid dalam keadaan yang baik untuk membawa orang lain kepada Allah Subhabahu Wataa'la dan Rasulullah Sollallahu A'laihi Wasalam. Percayalah setiap bait-bait kata yang disampaikan itu, membawa mesej yang sangat bermakna buat kita. Bagi yang meminati muzik lama, teruskan mendengar lagu-lagu yang lama itu dan jangan berhenti berjuang.

P/S : Dengar kata album Far-East yang bakal terbit nanti ada lagu-lagu dalam bahasa Tamil, baguslah untuk menarik pendengar Tamil kepada Islam. Album Nur Muhammad (Inteam & UNIQUE) pun terbaik! Dah kurang lagu-lagu cintan-cintun ni, sekarang dah banyak lagu selawat diterbitkan semula. Satu perkembangan yang baik buat industri nasyid kita.

LAGU BUKAN SEKADAR LAGU!! ADA MAKNA DAN PENGERTIANNYA!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.