Dajjal : Kisah Hadith Tamim ad-Dari

Gambar Hiasan

Fitnah Al-Masih Dajjal telah banyak diceritakan oleh Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasalam. Bukan hanya Nabi SAW sahaja yang menceritakan perihal fitnah dahsyat Dajjal ini, bahkan setiap nabi yang diutuskan oleh Allah SWT pasti akan memberikan peringatan kepada ummat masing-masing.

Persoalannya, mengapakah fitnah Dajjal ini dikatakan fitnah yang dahsyat yang akan melanda umat akhir zaman? Apakah istimewanya Dajjal Al-Masih ini? Tidakkah sama dengan fitnah yang dilontarkan oleh Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim a.s? Ataupun fitnah Firaun yang mengatakan beliau adalah Tuhan sekalian Alam dan memerintahkan semua rakyat menyembahnya?

BACA SETERUSNYA>>

Pastinya terdapat keistimewaan dengan fitnah yang dahsyat ini sehinggakan setiap Nabi memberi peringatan kepada setiap umatnya. Bagi pendapat saya, fitnah ini sangat dahsyat kerana Dajjal menabur fitnah ke atas setiap manusia pada setiap zaman bermula dari zaman kehidupan negara Samiri (susur galur keturunan Sam Bin Nuh) sehinggalah penghujung riwayat dunia ini.

FITNAH BESAR MENJADI BERITA YANG SAYU DAN LEMAH

Saya pernah terfikir, mengapakah ramai orang dan para ulama jarang bercerita tentang Dajjal ini walhal cerita ini telah diceritakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Adakah mereka tidak percaya dengan semua ini?

Dalam pengamatan saya sepanjang membaca buku "Membongkar Misteri Dajjal", penulis memberikan ulasan dan pendapat tentang fitnah besar yang menjadi suram ini. Menurut penulis, hal ini berlaku kerana banyak khilaf di kalangan ulama tentang bagaimana Dajjal muncul, bagaimanakah rupa Dajjal, Dajjal tinggal di mana dan bilakah Al-Masih ini akan keluar.

Apabila terlalu banyak versi yang diutarakan oleh para ulama, ia menyebabkan ramai manusia yang tidak mengambil endah tentang fitnah Dajjal ini akibat terkeliru dengan kisah ini. Akhirnya kisah ini menjadi sayu dan mengganggap cerita ini sebagai tahyul dan mistik. Nauzubillah..

HADITH RASULULLAH MENGENAI KISAH DARI TAMIM AD-DARI

Sebagai permulaan dalam kisah ini, marilah kita merenung sebuah hadith sahih yang panjang dan mahsyur yang diriwayatkan oleh ramai sahabat-sahabat Nabi SAW. Kisah ini diceritakan oleh seorang yang baru memeluk Islam ketika itu, dan beliau menceritakan pengalamannya sesat di sebuah pulau misteri dan berjumpa dengan sesuatu yang agak pelik.

Hadith ini diriwayatkan oleh Amir Ibnu Sharahil Shabi Shab Hamdan dan disampaikan dari Fatimah binti Qais dan Fatimah mendengar hadith ini terus dari baginda Rasulullah SAW. Hadith ini sangat panjang dan izinkan saya untuk meringkaskan hadith ini dalam bentuk cerita:


Pada suatu hari Rasulullah SAW naik ke atas mimbar dan berkata kepada semua para sahabat baginda yang berada di dalam masjid itu. Baginda SAW menceritakan tentang pengalaman seorang Nasrani bernama Tamim ad-Dari yang baru memeluk Islam dan berbaiah kepada baginda. Cerita yang disampaikan oleh Tamim ad-dari sangat bertepatan dengan apa yang dikisahkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat sebelum ini.

Pada suatu ketika, Tamim ad-Dari bersama 30 orang lelaki dari kaum Lakhm dan Juzdam mengharungi lautan dan dilambung badai dan gelora. Setelah dilambung badai selama 1 bulan, mereka akhirnya bertemu dengan sebuah pulau misteri yang berada di tengah-tengah lautan dan mereka berlabuh di pulau itu dengan menaiki perahu kecil.


Setibanya mereka sampai di pulau tersebut, mereka sangat terkejut apabila didatangi oleh seekor binatang yang tebal bulunya. Sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana satu bahagian belakang dan depan binatang itu.

"Apakah kamu ini?" tanya mereka kepada binatang itu.

"Akulah pengintip rahsia (Jassasah)", jawab binatang berbulu lebat itu.

"Pengintip apa?" mereka bertanya lagi.

"Tak usahlah kamu bertanya lagi. Pergilah kamu temui seorang lelaki yang berada di dalam biara (tempat pertapaan) kerana ia sangat merindukan berita dari kamu", jawab binatang itu lagi.

Mereka pun pergilah ke biara itu. Apabila mereka sampai di dalamnya, mereka menjumpai sebesar-besar manusia yang dirantai dengan kuat. Kedua tangannya dibelenggu di lehernya. Kaki dan lututnya diikat dengan besi hingga buku lalinya.

"Makhluk apakah kamu ini?" tanya mereka kepada makhluk itu.

"Sebenarnya kamu telah melihat keadaanku. Kamu pula siapa?" tanya makhluk itu kembali.

"Kami adalah bangsa Arab. Kami belayar di laut yang bergelora lalu kapal kami dipukul ombak selama sebulan dan akhirnya kami terdampar di pulaumu ini", jawab mereka.

Mungkinkah Big Foot yang disebut selama ini adalah Jassasah?

Setelah mendengar penjelasan mereka, makhluk berantai itupun bertanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang kurma di Baisan. Adakah ia masih berbuah?", tanya makhluk itu.

"Ya! Ia masih berbuah." jawab mereka.

"Sesungguhnya hampir ia tidak berbuah lagi. Bagaimana pula tentang Tasik Thabariayah? Apakah ia masih ada air?" tanya makhluk itu lagi.

"Airnya masih banyak." jawab mereka.

Lalu dia berkata "Sesungguhnya tidak lama lagi ia akan kering". Kemudian dia bertanya lagi, "Bagaimana pula dengan mata air Zughar? Apakah masih ada airnya dan apakah penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka?" tanya makhluk itu lagi kepada mereka.

"Ya! Airnya masih banyak dan penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka", jawab mereka.

"Bagaimanakah dengan nabi orang-orang ummiyin? Apakah yang dikerjakannya? Dan apakah orang-orang Arab memeranginya?"

"Dia dilahirkan di Mekah dan telah berhijrah ke Yathrib (Madinah). Ya, mereka memeranginya" jawab mereka.

"Seterusnya bagaimana perlakuannya terhadap mereka?" tanya makhluk itu berkenaan Rasulullah.

"Dia telah banyak memperolehi kemenangan terhadap mereka, bahkan hampir semua orang Arab yang ada di sekelilingnya telah mengikutinya" mereka menjawab.

"Sungguhkah itu yang terjadi?", tanya makhluk itu untuk mendapatkan kepastian.

"Ya! Sesungguhnya itulah yang terjadi", jawab mereka dengan yakin.

Lalu makhluk itu berkata:

"Kalau mereka mengikutinya, maka itulah yang terbaik. Maka sekarang ini aku ingin memberi tahu kepadamu siapakah sebenarnya aku. Akulah Al-Masih Ad-Dajjal. Rasanya sudah hampir diizinkan aku untuk keluar. Bila aku keluar nanti aku akan berjalan ke serata permukaan bumi sehinggakan tiada sebuah kampung pun yang terkecuali. Aku akan berada selama 40 hari kecuali Makkah dan Tahibah. Kedua kota ini diharamkan ke atasku. Aku dihalang oleh Malaikat dengan pedang yang terhunus. Mereka mengawal kedua-dua kota itu daripadaku dan sesungguhnya pada setiap Malaikat yang menjaganya", terang makhluk yang bernama AD-DAJJAL AL-MASIH itu.


Rasulullah SAW menghentak tongkatnya seraya berkata "Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah yakni Madinah. Bukankah aku telah sampaikan berita ini kepada kamu semua?"

"Benar, wahai Rasulullah!", para sahabat menjawab.

Mekah dan Madinah tanah yang diharamkan untuk Dajjal

"Sesungguhnya cerita Tamim ad-Dari ini bersesuaian dengan dengan apa yang pernah aku ceritakan kepada kamu semua terutamanya tentang keistimewaan Mekah dan Madinah. Ketahuilah! Dajjal itu berada di Laut Syam atau Laut Yaman. Sesungguhnya ia berada di arah Timur", terang Baginda sambil menunjukkan tangannya ke arah Timur.

*Teks hadith panjang ini boleh dibaca dalam buku "Membongkar Misteri Dajjal" di muka surat 14-19.

Setakat ini dulu untuk kali ini. Masih banyak yang perlu disingkap tentang perihal Dajjal ini. Ada masa dan ketika, saya akan sambung lagi perkongsian ini. Bagi yang mahu membaca perihal Dajjal ini, bolehlah membeli buku berjudul "Membongkar Misteri Dajjal" karangan Muhammad Nurani Maarif yang diterbitkan oleh Hijjaz Publishing Sdn. Bhd.

Anda boleh juga membaca blog ustaz saya di sini, bagi mendapat gambaran yang lebih baik.

Wallahua'alam..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Sunnah Nabi Sepanjang Hari


"Sollallahu a'la Muhammad.. Sollallahu a'laihi wasalam.."

Bergema di seluruh pelusuk dunia dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Hari ini 12 RabiulAwal, bertepatan dengan hari lahirnya baginda junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Bukan majlis sambutan yang kita inginkan, tetapi semangat perjuangan Nabi SAW yang perlu diambil. Sambutlah 'maulidur rasul' setiap hari! Moga hidup diberkati.

Bagaimanakah cara untuk mengingati junjungan besar kita ini? Adalah setahun sekali berarak di tepi jalan sambil berselawat sahaja? Atau pun apabila ada pihak menghina Nabi? Senang sahaja, setiap hari kita mampu lakukannya. Saya ingin berkongsi dengan anda..

BACA SETERUSNYA>>


SUNNAH DI KALA SUBUH

Di sepertiga malam, seorang insan bangun mengambil wuduk dan terus mengangkat takbir membesarkan Allah SWT. Dimulakan dengan solat sunat taubat, solat hajat, solat tasbih, solat tahajud dan solat witir.

Nabi Muhammad SAW sangat memberatkan solat di sepertiga malam kerana ianya mempunyai terlampau banyak kelebihan dari solat di waktu lain. Pernah diriwayatkan bahawa kaki dan lutut Nabi SAW membengkak kerana terlalu lama bersolat malam. Di waktu inilah Allah SWT mencari hamba-hamba-Nya yang meminta keampunan dan hajat daripada-Nya.

Inilah sunnah Nabi yang agak sukar untuk diamalkan kerana lemahnya iman. Bayangkan ramai manusia ketika itu senang lena dibuai mimpi, pasti ianya adalah waktu line tidak sibuk dengan Allah (bukan waktu kemuncak). Ibarat service telefon di tengah malam : murah, tidak sesak dan message cepat sampai.

"Allahu Akbar.. Allahu Akbar".. berkumandanglah azan subuh yang memanggil dan mengejutkan manusia menyembah Allah.. Sunnah di kala subuh pula..

Di antara sunnah yang dapat diamalkan ketika ini ialah bersolat jemaah di masjid. Sebelum itu, amalkan solat sunat sebelum Subuh kerana pernah Nabi bersabda bahawa solat 2 rakaat sebelum Subuh adalah lebih baik dari dunia dan seisi-isinya.

Selepas solat Subuh, jika berkelapangan, bolehlah duduk sahaja di masjid berzikir sampailah ke waktu syuruk, seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Muaz Bin Anas Al-Juhaini yang berbunyi :

"Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa selesai solat Subuh kemudian duduk di tempat duduknya, tidak bercakap-cakap kecuali kebaikan kemudian bersembahyang sunat Isyrak 2 rakaat, Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya walaupun lebih banyak daripada buih-buih di lautan"

Waktu subuh adalah permulaan bagi kehidupan sepanjang hari. Jika baik subuhnya, maka baiklah keseluruhan harinya, Insya-Allah.. Sesuatu yang mudah tapi sukar untuk dilakukan. Moga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita disamping kita berusaha ke arah itu.

SUNNAH DI WAKTU PAGI


Seperti burung-burung mencari rezeki di awal pagi, begitu juga kita manusia yang berlumba-lumba mencari rezeki Allah di muka bumi-Nya. Nabi SAW mengajar kita untuk mendapatkan keberkatan dalam proses mencari rezeki.

Tidak susah, hanya melapangkan masa selama 10 minit sahaja untuk menunaikan SOLAT SUNAT DHUHA. Solat ini selalu ditamsilkan sebagai medium menarik rezeki. Selalunya, bagi mereka yang bersolat dhuha ini memperoleh rezeki yang berkat dan mudah, (berkat bukan bererti banyak sahaja), tetapi rezeki itu memberi kebahagiaan dan manfaat kepada penerimanya.


Solat ini boleh dilakukan sekurang-kurang 2 rakaat dan boleh juga dilakukan mengikut kemampuan diri, hendak buat banyak-banyak pun tak apa. Mudah sahaja sebenarnya, tapi kita yang buat susah dan berat, Nauzubillah. Ada satu lagi sunnah Nabi SAW berkenaan pagi ini, iaitu jangan tidur selepas subuh kerana dapat menyekat rezeki. Lihat sahaja jika tidur selepas Subuh, sarapan pagi pasti terlepas atau bersarapan di waktu tengah hari.

SUNNAH DI TENGAH HARI

Sunnah di tengah hari ini pasti ramai yang menyukainya dan kadang-kadang kita tidak sedar bahawa ianya adalah satu sunnah. Iaitu tidur, tetapi bukan tidur nyenyak sampai terlajak waktu zuhurnya.



Tidur lebih kurang 15-20 minit sudah memadai untuk memberikan kecerdasan kepada badan. Kajian di beberapa buah negara mendapati tabiat tidur di tengah hari meningkat prestasi negara. Tetapi diingatkan sekali lagi, tidur seketika bukan tidur sampai ke petang. Tidur sekejap ini bertujuan untuk memudahkan kita untuk bangun bertahajud pada keesokkan harinya.

SUNNAH KETIKA MAKAN

Allah SWT Maha Pemurah. Di waktu kita makan pun Allah memberi ganjaran pahala dan Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita sunnahnya. Secara umumnya, sunnah Nabi SAW ialah "makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang".


Sebelum dan selepas makan disunatkan kita membaca doa. Senang sahaja, kanak-kanak tadika boleh baca takkan kita tidak boleh kan? Selain itu juga, Nabi mengajar kita supaya mengamalkan makan berjemaah ataupun dikenali sebagai makan talam. Makan cara ini agak sukar dipraktikkan sekarang kerana kita terbiasa makan dengan pinggan sendiri tetapi apabila ada peluang makan dalam talam, JANGAN LEPASKAN PELUANG!!

SUNNAH KETIKA TIDUR

Hidup kita seharian terbahagi kepada 3 bahagian. Iaitu beribadat, bekerja dan TIDUR. Allah SWT Maha Pemurah kerana memberi pahala juga kepada hamba-Nya yang tidur. Tetapi ada syaratnya.


Antara sunnah Nabi Muhammad SAW yang dapat kita amalkan ialah :

1) Berwuduk sebelum tidur.
2) Perut tidak terlalu kenyang (untuk mudah bangun subuh)
3) Muhasabah diri
4) Membaca 3 kul
5) Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW
6) Membaca doa tidur
7) Tidur dengan cara Nabi - mengiring ke kanan.

SUNNAH NABI SEPANJANG HARI

Mengingati Nabi junjungan kita bukan hanya apabila Maulidur Rasul bertandang tiba. Sebenarnya cara hidup Nabi sedang berlegar di sekeliling kita tanpa kita sedari. Sunnah Nabi ini banyak kelebihan dari segi pahala dan saintifik sendiri. Jadikanlah 'Maulidur Rasul' setiap hari dalam kehidupan kita!


Kami ummatmu tidak pernah melihat wajahmu. Ya Allah.. Jadikan kami ummatnya yang mengikut sunnah baginda agar mendapat syafaat di akhirat sana dan menzahirkan kecintaan kami kepada Nabi junjungan.

Happy Birthday Ya Rasulullah SAW..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Nota Hati Seorang Lelaki


"Saya melihat lelaki pada zaman ini kurang kepimpinannya. Kerana itulah saya menulis kisah-kisah tentang lelaki dari aspek anak, suami, ayah dan daie. Kesemuanya kisah yang saya alami sendiri", kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI).

"Apa yang paling saya ingat ialah kisah seorang ahli korporat yang menceritakan tentang ibunya. Sewaktu ibunya hampir meninggal dunia, ibunya berkata "kalau ibu tak ada nanti, siapalah nak doakan kau nak", jarang kita mendengar kita doakan orang, tetapi selalunya kita meminta orang lain yang mendoakan kita", sambung Ustaz Pahrol.

BACA SETERUSNYA>>


Lelaki adalah pembimbing atau pelindung bagi wanita. Justeru, kepimpinan dan ilmu yang bermanfaat mestilah dimiliki pada setiap pemimpin bernama lelaki. Allah SWT memberikan hak talak kepada lelaki kerana lelaki mempunyai 9 rasional daripada wanita dan dapat membuat keputusan yang bernas (selalunya).

Lelaki juga ibarat nakhoda yang melayarkan bahtera rumah tangga, jika lemah nakhoda sesebuah bahtera itu, maka akan karamlah bahtera itu dilambung badai.

Sedikit mukadimah tentang NOTA HATI SEORANG LELAKI.

BICARA TENTANG PENULIS

Pahrol Mohd Juoi. Berkelulusan UiTM Shah Alam dan aktif dalam penulisan dakwah dan pendidikan Islam sejak remaja lagi. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya menjadi Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986.

Pernah menjadi kokaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dalam bidang penulisan. Beliau komited menulis dan menjadi kolumnis untuk beberapa buah majalah. Selain itu juga menulis lirik nasyid bagi kumpulan nasyid tanah air.

Kini beliau merupakan Pengarah & Penyelidik Modul, Pengurus Besar serta "trainer" di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. - sebuah perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi kerajaan, swasta dan korporat. Beliau juga adalah editor bagi majalah bercorak Islam iaitu SOLUSI yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn, Bhd.

NOTA HATI SEORANG ANAK

Tidak kira kita ini seorang ayah, datuk atau moyang, hakikatnya kita masih seorang anak kepada ibu bapa kita. Peringkat pertama untuk memupuk kepimpinan sebagai lelaki adalah berdasarkan peranan sebagai anak, sama ada baik dan buruk ibu bapa kita, kita wajib berbuat baik kepada mereka.

Terdapat sebuah kisah tentang seorang anak bernama Ramli dari sebuah kampung. Ayahnya seorang kaki judi dan pemabuk dan sangat dibenci oleh seluruh penduduk desa. Satu hari ayahnya meninggal dunia dan sewaktu perjalanan pulang dari tanah perkuburan, anak itu menangis mengenangkan nasibnya selepas itu, lalu seorang atuk menasihatinya.

"Ramli, kalau benar kamu sayangkan ayah kamu, jadilah anak yang soleh. Doakan dia. Itu saja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di alam barzakh", kata atuk kepada Ramli.

Ramli diam lalu menundukkan pandangannya.

"Untuk harumkan kembali nama baik ayah kamu di dunia, kamu belajarlah bersungguh-sungguh. Jadi orang yang berjaya dalam hidup. Insya-Allah.. Kejayaan kamu itu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikata-kata orang sekarang", nasihat Atuk kepada Ramli.

Akhirnya, Ramli sudah menjadi seorang jurutera dan juga seorang Hafiz. Menjadi Imam masjid di kampungnya dan menjadi sanjungan penduduk kampung itu. Maka harumlah nama bapanya kembali.

Gambar Hiasan

Apabila ibu bapa sudah tua, mereka memerlukan perhatian kita. Benarlah kata pujangga "Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, tetapi belum tentu 10 orang anak menjaga ibunya". Benar. Di akhir usia mereka, mereka memerlukan teman untuk berbicara dan paling tidak pun mereka mahukan orang yang mahu mendengar cerita-cerita silam mereka. Tetapi berapa ramaikah anak-anak dapat menjaga mereka?

"Aku pening la. Baru je 2 bulan lepas aku balik kampung, mak aku dah panggil balik dah. Baru je sekejap tinggalkan, dah rindu", ngomel seorang anak dengan sikap ibunya.

Saudara, sewaktu kita ditinggalkan di asrama dahulu, 1 hari ibarat setahun, seminggu ibarat seabad. Pernahkah anda berasa demikian? Kita terlalu memerlukan orang yang tersayang (ibu bapa) ketika itu kerana kita sedang dalam 'kesunyian' dan perlukan perhatian. Begitu juga dengan ibu bapa kita di rumah, lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usia, mereka perlukan perhatian kita dan bukannya kiriman wang semata-mata.

Sangat sukar untuk kita memberi perhatian kepada ibu bapa sewaktu di puncak kerjaya. Tetapi ingat, redha Allah SWT terletak pada keredhaan ibu bapa kita. Doakan mereka sama ada masih ada ataupun telah meninggal dunia. Sesiapa yang mensia-siakan ibu bapanya, hidupnya tidak berkat walaupun berada di puncak kejayaan. Wallahua'lam.

NOTA HATI SEORANG SUAMI

"Jangan melihat cantiknya isteri kita, tapi lihatlah pada kecantikannya".

Apa beza cantik dan kecantikan di atas? Cantik bererti paras rupanya yang cantik menawan memikat hati suami. Kecantikan pula ialah kecantikan budi pekertinya. Jadi mana yang kebih penting? Kalau kita melihat pada kecantikan, tidak perlukah mencari isteri yang cantik?

Bukan begitu maksudnya. Manusia suka pada benda yang cantik. Cantik pula terlalu subjektif, yang putih itu cantik, yang hitam juga cantik, ianya terpulang kepada seseorang, elok di pandangan mata maka cantiklah ia. Tetapi, bagi mengikat rasa cinta kita kepada isteri, tumpukan kepada kecantikannya. Hal ini kerana, apabila isteri kita tidak cantik lagi seperti dulu, adakah kita perlu meninggalkannya dan mencari perempuan yang lebih cantik daripadanya?

Pastinya tidak perlu kerana belum tentu yang cantik itu baik. Bersyukurlah dengan kelebihan yang ada dengan isteri kita, dan Allah SWT akan menambah nikmat kebahagiaan kepada hubungan suami isteri.


Sudah ramai lelaki yang hilang daya kepimpinannya. Buktinya, makin banyak kes-kes penceraian dan kebanyakkan boleh diselesaikan dengan sebaiknya. Pupuklah rasa cinta kembali, banyakkan berbincang jika mengalami masalah. Mengapa kita mengahwininya jika kita tidak cinta kepadanya?

NOTA HATI SEORANG AYAH

"Menjaga sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan"

Pernah tidak kita mendengar peribahasa ini? "Menjaga seorang anak lelaki lebih mudah daripada menjaga sekandang lembu". Pastinya tidak, kerana menjaga anak perempuan tidaklah sesukar yang diduga dan menjaga anak lelaki tidaklah semudah yang disangka.

Hanya cara menjaga anak lelaki dan anak perempuan yang berbeza. Tapi bagaimanakah kita hendak menjaga anak perempuan? Didiklah mereka seperti mana kita mengidamkan seorang isteri yang baik, menantu yang baik dan seorang ibu yang baik.


Dewasa ini, semakin banyak masalah sosial yang berlaku pada generasi muda. Kebanyakkannya berpunca dari anak-anak perempuan yang terlalu diberikan kebebasan oleh ibu bapa. Akhirnya mereka terjebak dengan seks bebas, minum arak dan lain-lain. Satu lagi bukti kelemahan kepimpinan seorang lelaki. Gagal mengawal anak-anaknya.

Kebebasan itu perlu tetapi perlulah diberi had yang sewajarnya. Ibarat kita bermain layang-layang, kita masih dapat mengawal pergerakan layang-layang kita itu kerana kita masih mengawal terajunya. Bagaimana pula jika layang-layang itu putus talinya? Pastinya akan terbang mengikut arah angin, kemungkinan juga akan terbang ke mana-mana sahaja dan akhirnya terhempas. Samalah seperti menjaga anak-anak.

NOTA HATI SEORANG DAI'E

Betulkan tujuan setiap amalan. Kerana tujuan kita mengenal destinasi. Bukan hanya ikut-ikutan, tetapi membina kehidupan yang mampan. Sebagai lelaki yang memimpin keluarga dan masyarakat haruslah sedar, bahawa untuk menjaga hubungan kita dengan keluarga tidak kira sebagai anak, suami ataupun ayah, hubungan dengan Allah SWT adalah kuncinya.


Apakah peranan lelaki sebagai pendakwah dalam sesebuah rumah tangga? Peranan ini berkait rapat dengan peranan lelaki itu sendiri sebagai ketua keluarga. Peranan ketua keluarga bukan sahaja mencukupkan makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri dan anak-anak. Ianya mencakupi soal kerohanian dunia dan akhirat. Maka lelaki perlulah berubah terlebih dahulu sebelum mendidik keluarganya.

BICARA TENTANG NOTA HATI SEORANG LELAKI

Buku terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd ini dijual dengan harga RM 20 sahaja. Penulis menggunakan teknik penceritaan dalam buku ini dan membahagikan sebanyak 4 bab utama iaitu dari anak peranan anak, suami, ayah dan pendakwah. Keseluruhannya, di dalam buku ini terdapat 56 buah cerita suka dan duka bagi insan bergelar lelaki.

Apa yang saya dapat kongsikan di sini hanya secebis dari selembar yang dikarang oleh Ustaz Pahrol. Tidak dapat untuk semuanya dimuatkan disini, tetapi mungkin ia dapat memberi gambaran tentang isu yang dibincangkan di dalamnya.

"Hati seorang lelaki..
Kekadang perlu sekeras waja
Ada masanya mesti selembut sutera
Ah, lelaki..
Jika jiwamu tulus kerana ILAHI
Pasti lurus perananmu sebagai LELAKI!"

Apa yang saya tulis adalah sebagai nasihat untuk diri saya yang kurang ini dan juga kepada anda semua. Kerana cabaran yang besar sebagai ketua dan pemimpin keluarga akan saya galas tidak lama lagi. Insya-Allah.. Moga buah tangan untuk kali ini memberi input yang bermanfaat kepada pembaca sekalian.

Nota : Selepas ini saya akan teruskan membawa buku berjudul "MEMBONGKAR MISTERI DAJJAL". Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Nasyid Inter-Kampus UiTM Puncak Alam : Realiti & Penghayatan


"Dapat giliran nombor berapa?!", rakan-rakan bertanya kepada saya.

"Haha.. Nombor 13. Last sekali", saya menjawab.

"Allah.. Last sekali.. Mesti dah ngantuk time tu", ngomel rakan-rakan saya.

Pengalaman mendapat giliran yang pertama ketika Festival Nasyid UiTM (FENU '09) dahulu, ianya telah mengejutkan kami sekumpulan. Begitu juga di pertandingan ini, mendapat giliran terakhir pastinya menjadi cabaran kepada kami.

BACA SETERUSNYA>>


Pasukan giliran yang pertama pastinya menjadi penanda aras kepada kumpulan yang lain, jika kumpulan seterusnya lebih baik, akan diberi markah lebih tinggi dan begitulah sebaliknya. Jika di giliran terakhir pula, cabarannya lebih besar seperti keletihan menunggu yang melampau dan kepenatan yang dirasai oleh juri pertandingan dan juga penonton, pastinya terdapat masalah pemarkahan. Ianya berkaitan dengan emosi bukan prestasi.

UiTM PUNCAK ALAM

Perjalanan ke UiTM Puncak Alam mengambil masa 30 minit dari rumah saya untuk sampai ke sana. Saya bersama Fitri, Abid dan Kamarol bertolak dari rumah saya. Peserta yang bertolak dari kampus UiTM Penang pula menaiki bas dengan membawa percussion.


Dari pintu pagar UiTM Puncak Alam, perjalanan ke kolej (penginapan peserta) sejauh 4.5 km. Kami ditempatkan di Kolej Angsana (A1- Kolej Siswi) oleh pihak penganjur. Kolej yang sangat baik dengan kemudahan yang disediakan, bilik yang selesa dan permandangan yang indah.


Di dewan makan Kolej Angsana ini juga menempatkan Pusat Islam sementara. Jadi, tidak ada alasan untuk tidak bersolat jemaah dengan alasan masjid jauh dan "Kami tengah makan!!".

DI AMBANG PERTANDINGAN

"Perhatian kepada semua peserta Nasyid Inter-Kampus UiTM Puncak Alam! Diminta kerjasama anda semua untuk berkumpul di ruang solat ini selepas Solat Isyak. Ada sedikit taklimat untuk pertandingan nanti", kata seorang urusetia kepada peserta.

Far-E-ZeeN kusyuk mendengar taklimat dari urusetia

Taklimat diadakan untuk menerangkan secara terperinci tentang syarat-syarat pertandingan dan perjalanan pertandingan yang akan bermula pada keesokkan harinya. Selain itu, proses undian untuk menentukan giliran persembahan telah dibuat oleh urusetia. Ketika itulah Far-E-ZeeN mendapat giliran ke 13 (giliran terakhir).

ASRAR pula dengan gayanya - sempoi

"ASRAR dapat giliran nombor berapa?" saya bertanya kepada Safwan, wakil kumpulan ASRAR.

"Nombor 12, sebelum Far-E-ZeeN. Nampak gayanya kita senasib. Haha..", jawab Safwan.

DI HARI PERTANDINGAN

"Kami memohon maaf, pentas untuk pertandingan belum siap lagi. Jadi, peringkat saringan kita pada petang ini dibatalkan dan digabungkan dengan saringan sebelah malam. Kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk anda semua. Harap maklum", kata ketua urusetia kepada kami.


Sesi latihan dibatalkan pada sebelah paginya yang dirancang diadakan di Dewan Kuliah FSK kerana kumpulan teater kampus sedang menggunakannya bagi latihan mereka. Pada sebelah petangnya, saringan pertama sepatutnya diadakan. Tetapi apakan daya, pentas untuk pertandingan tidak siap dipasang lagi. Ianya menjadi masalah kepada pasukan nasyid dalam sesi sound check dan tentatif pihak penganjur pun berubah. Pasti sakit kepala memikirkannya.

Kami sedang menunggu pentas disiapkan

"Pentas dan sound system ini dari UiTM Kuantan, PM datang kampus sana. Sebab tu lambat sikit. Harap dapat memahami kami ye. Kami akan cuba beri yang terbaik", terang Ketua CITU UiTM Puncak Alam.

Kami memahami masalah mereka. Kerana kes-kes teknikal agak sukar untuk diramal dan dikawal. Bagi kami yang selalu mengendalikan program, perkara ini telah selalu berlaku. Tambahan pula, kampus ini baru pertama kali mengendalikan program besar seperti ini.

Kami memahami! Pihak penganjur telah membuat yang terbaik untuk kami.

KISAH SEBUAH KUMPULAN

"Kami malu.. Semua kumpulan ada baju sendiri, kami pula baju lain-lain. Kami tiada sponsor, sudah lama kami mintak, tapi tak dapat support dari mana-mana. Pengiring pun tidak ada, kami datang sendiri", luah ketua kumpulan dari UiTM Sarawak kepada saya.


Mereka seramai 6 orang telah datang sendiri ke pertandingan ini. Tiada pengiring yang mengiringi mereka. Tiket penerbangan dari Sarawak ke KLIA diuruskan sendiri. Baju nasyid mereka juga adalah baju melayu sendiri dan berlainan coraknya dan warnanya. Dan yang paling mendukacitakan, mereka kecewa dengan masalah teknikal yang menimpa mereka semasa persembahan.

"Saya sudah pesan dengan technician untuk hilangkan suara dalam minus one kami. Tapi dia tak buang, orang nampak saya miming. Nanti orang kata kami tipu", keluh beliau lagi.

Ketika persembahan mereka, technician yang menjaga minus one tidak membuang suara penyanyi asal lagu tersebut. Akibatnya, solo kumpulan itu nampak seperti sedang miming sedangkan beliau benar-benar sedang menyanyikan lagu tersebut.

Astaghfirullah.. Kami beranggapan bahawa mereka sengaja berbuat demikian. Ternyata cerita yang sebenar membuatkan kami sangat simpati dengan mereka.

"Tak apa. Terimalah dengan hati yang terbuka. Anda semua bermujahadah nak sertai pertandingan ni. Insya-Allah.. Allah akan membalas mujahadah anda semua dengan kejayaan jika tidak hari ini, mungkin selepas ini", saya menenangkan beliau.

"Ya Allah.. Betapa bersyukurnya aku kepada-Mu. Ada insan yang lebih susah daripada kami. Aku bersyukur kerana Kau telah memudahkan kami dengan nikmat-Mu Ya Allah"

Dahulu.. Kami susah. Pakaian kami beli sendiri. Percussion lama dan kurang kualiti. Pengiring tidak ada sepanjang pertandingan dan kami uruskan sendiri segalanya. Sekarang.. Semuanya telah tersedia, baju baru, alat muzik baru dan ada pengiring yang sudi menguruskan kami. Ada insan yang susah dari kami.. Astaghfirullah.. Alhamdulillah.. Dengan nikmat-Mu Ya Allah.

REALITI DAN PENGHAYATAN

Alunan suara dari semua kumpulan menggemakan seluruh pelosok kampus UiTM Puncak Alam. Lagu-lagu yang memuji Allah SWT dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW telah mewarnai pertandingan pada malam itu.

Sesuai dengan temanya, "Maulidur Rasul", kami menyampaikan lagu Rasul Junjungan sebagai lagu utama dan lagu Al-Quran Penjana Ummah sebagai lagu bebas. Apa yang paling penting ialah pengajaran dan penghayatan yang terdapat dalam lagu-lagu itu, dan bukannya melodinya semata-mata.

Semoga apa yang kita nyanyikan dan dengarkan dapat kita amalkan dan mengambil pengajaran. Hamba pada Yang HAKIKI dan umat yang SEJATI menjadi idaman setiap manusia kerana ianya menjadi tiket untuk memperolehi redha-Nya.

MENANG DALAM KEKALAHAN

"Kalah dalam kemenangan", komen Ustaz di facebook.

"Apa maksudnya Ustaz?" saya bertanya kembali.

"Kalah dimata pengadil. Menang disisi penonton" Ustaz menjelaskan.

Ternyata, persembahan yang membuatkan penonton teruja tidak semestinya membolehkan juri juga teruja dengan persembahan kita. Penonton mengadili dari segi terhibur atau tidak, manakala juri pula dari segi vokal dan persembahan. Itu adalah realitinya. Kerana itulah artis-artis di Malaysia agak kurang kualiti kerana mereka dipilih dari rancangan hiburan yang pemenangnya dipilih oleh undian penonton sendiri. Populariti tanpa kualiti.

Kami pulang ke Pulau Pinang selepas tidak diumumkan sebagai finalis untuk peringkat akhir pertandingan itu. Walau bagaimanapun, kami berpuas hati kerana dapat menyampaikan dakwah kecil kami ini kepada pendengar. Ianya juga menjadi medan untuk memuhasabah kekurangan kami agar dapat meningkatkan kualiti pada masa akan datang.

Bermula di rumah saya

Pulang ke kampus yang tercinta

Itulah realiti dan penghayatan yang tersirat di dalam kembara kali ini. Banyak yang kami pelajari dari pertandingan ini. Langit tidak selalunya cerah, tidak semuanya berakhir dengan kejayaan tetapi permulaan untuk lebih berjaya.

Terima kasih kepada Ustaz Daud dan En. Rozaimi kerana sudi menjadi pengiring kami. Juga kepada Safwan dan Aziz kerana bertungkus lumus menguruskan pasukan kami. Terima kasih juga kepada rakan-rakan Far-E-ZeeN dan ASRAR di atas pengorbanan masa dan kudrat. Juga kepada Naim yang setia dengan kami.

"TOWARDS ISLAMIC ARTS PRIORITY"

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Rasul Junjungan (Inter-Kampus UiTM Puncak Alam)


Era 2005 dan 2006, kumpulan nasyid Az-Zafran begitu dikenali di SBPI Sabak Bernam. Diberitakan Az-Zafran tetap unggul di sekolah sehinggalah sekarang. Saya tidak pasti sama ada baju nasyid kuningnya sudah ditukar dengan yang baru atau belum. Tapi tidak mengapa, aura Az-Zafran tetap dengan baju kuning itu.

Era itu telah berlalu, kini saya bersama kumpulan Far-E-ZeeN meneruskan perjuangan nasyid ini. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kumpulan nasyid yang aktif di UiTM Pulau Pinang. Masing-masing mempunyai aura yang tersendiri dan mampu maju ke hadapan.

Sudah banyak lagu yang kami gubah sepanjang hampir 3 tahun berjuang, antaranya Ramadhan dan Generasi Pewaris Bangsa. Pada Pertandingan Nasyid Inter-Kampus UiTM Puncak Alam ini (19-21/2/2010), kami mengetengahkan lagu baru iaitu RASUL JUNJUNGAN.

BACA SETERUSNYA>>


RASUL JUNJUNGAN

Lagu ini digubah liriknya sesuai dengan tema Maulidur Rasul yang ditentukan oleh pihak penganjur pertandingan. Lagi ini berkenaan dengan perjuangan Rasulullah tetapi lebih banyak ditujukan kepada kita ummat Nabi Muhammad SAW. Supaya kita sebagai ummat baginda dapat mencontohi Rasulullah SAW dalam sirah perjuangan baginda.


Lirik lagu ini ditulis oleh Saudara Safiuddin (Pidin) yang juga merupakan ahli kumpulan Far-E-ZeeN. Waktu latihan yang terlampau singkat dan kekangan masalah yang membelenggu kami menjadikan pertandingan kali ini sungguh mencabar. Kami akan lakukan yang terbaik. Insya-Allah..

RASUL JUNJUNGAN

Suatu permulaan lahir seorang insan
Membawa kilauan rahmat nur cahaya
Bersama panji-panji perjuangan
Iman dan taqwa menjadi bekalan

Wahai Rasul junjungan
Teguhnya semangatmu
Bangunkan agama dan negara
Berjuang tanpa rasa hampa
Kerna yang terindah hanya dari Tuhan

Engkaulah panduan umatmu ini

Berjuang untuk redha Ilahi
Andai halangan tak tertanggung di tangan

Pastikan kita ingatkan janji Tuhan

Wahai Ummah sejati
Hapuskan kejahilan
Sahut seruan Tuhan
Menyambung perjuangan

Wahai Ummah sejati
Tegakkan kebenaran
Kelak di sana
Islam kembali gemilang

Lagu : Syahnan & Zuhazli
Lirik : Pidin Far-E-ZeeN
Persembahan : Far-E-ZeeN
Inter-Kampus UiTM Puncak Alam 2010

Perjuangan ini diiringi dengan doa, usaha dan harapan. Seterusnya dengan tawakal kepada Allah. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang akan kita peringati hari kelahiran baginda nanti. Moga-moga kita menjadi umat baginda yang sejati. Insya-Allah.

*Video akan disertakan kemudian, saya akan usahakan.. Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.

Rumah Usang Itu Tinggal Kenangan


"Irah.. Irah.. Ada orang robohkan rumah sebelah, pergi tengok cepat!!" Bapak mengejutkan Irah di bilik.

Kamera Digital Sony terus dicapai Irah dan terus meluru ke rumah usang di sebelah. Irah merakamkan gambar-gambar ketika rumah usang itu dirobohkan. Sekumpulan penukang rumah yang diupah oleh pakcik sedang rancak merobohkan rumah usang yang hampir roboh itu.

Makcik (penghuni rumah usang ini dan telah berpindah ke rumah sewa) segera datang mengalihkan barang-barang yang masih tinggal di rumah itu dan seterusnya diletakkan di rumah saya. Yang masih ada rumah itu hanyalah almari pakaian dan meja. Yang lain tidak sempat diselamatkan.

Bukan terbakar atau runtuh. Tetapi DIROBOHKAN!!

BACA SETERUSNYA>>


SEJARAH RUMAH USANG INI

Rumah ini ialah rumah tinggalan arwah datuk dan nenek. Ianya rumah pusaka keluarga. Ia dibeli oleh datuk saya, Jacomah Bin Abdullah dan isterinya Yam Binti Wongsotarno. Rumah ini bukannya rumah pertama mereka, mereka tinggal di Klang sebelum berpindah ke Kuala Selangor dan di rumah inilah mereka menetap sehingga ke akhir hayat mereka.

Pada tahun 1995, rumah ini terasa 'sunyi' apabila nenek pulang ke Rahmatullah. Semenjak itu, makcik (Makcik Rom) dan keluarga yang menjaga rumah ini. Sehinggalah rumah ini sudah agak uzur dan sudah reput, makcik berpindah ke taman perumahan yang berdekatan.

Akhirnya.. Rumah ini ditinggalkan dan sesekali makcik datang menjenguknya.

MEMORI DI RUMAH INI

Saya masih kecil ketika rumah ini masih 'gagah'. Kerana itulah saya tiada memori indah dengannya. Tetapi, memorinya pasti terpalit di ingatan keluarga (adik-beradik) Bapak.

"Masa zaman muda-muda dulu, lepas balik sekolah, mesti Pakcik Dollah pergi belakang rumah cari ketam lubang. Kalau nak cari ketam yang banyak isi, jangan cari masa bulan mengambang, sebab masa tu ketam tak ada isi", cerita Pakcik Dollah ketika bertandang ke rumah saya.

"Masa kecik-kecik dulu, Mak Long la yang gosokkan baju bapak ko. Kalau baju berkedut mesti Bapak marah Mak Long "Hey Minah.. Tak cukup kanji ke baju aku ni?!". Kenalah Mak Long gosok balik, letak kanji banyak-banyak", cerita Mak Long pada sebelah malam sebelum Raya Haji di rumah saya.

Rumah dari pandangan sisi

Mak Long duduk di atas tangga rumah usang itu dan terlihat seorang adiknya sedang berjalan masuk ke arah rumah dari jalan besar.

"Hai Mat (panggilan untuk adik seorang lagi), cepat ko balik, ko kata nak pergi Klang.", tanya Mak Long kepada adiknya.

"Hisy.. Kak Minah ni, ni Jakiran la, bukan Mat. Salah orang tu, mentang-mentang lah baru cukur misai, dah tak kenal adik sendiri", kata Bapak membetulkan Mak Long untuk mengenal adiknya sendiri.

Di tangga inilah Mak Long menegur Bapak dengan panggilan "Mat"

Pastinya banyak lagi memori yang tersimpan di benak fikiran mereka adik-beradik. Di rumah inilah Bapak adik-beradik mengenal dunia dan erti kehidupan, sehinggalah mereka menjadi manusia yang berguna sekarang.

Mujahadah (bersusah payah) adalah guru yang berguna kepada manusia untuk mengenal kehidupan. Kerana kesenangan yang berpanjangan akan menumpulkan hati manusia akhirnya. Ya Allah.. Jauhkanlah diriku dari kemewahan dunia yang merosakkan.

RUMAH ITU KINI?


Rumah usang ini telah dirobohkan oleh sekumpulan orang yang diupah oleh pakcik. Dengan robohnya rumah ini, maka hilanglah sejarah dan memoirnya.. Hanya foto yang sempat dirakamkan ini menjadi kenangan.

Gambar belakang rumah sebelum dirobohkan


Keadaan rumah setelah dirobohkan


Pandangan atap yang telah dibuka


Hanya tinggal almari dan meja di bilik

Rumah ini memang sudah dibincangkan untuk dirobohkan. Bapak bercadang hendak mengadakan kenduri tahlil sebelum merobohkan rumah itu. Tetapi keputusan yang tergesa-gesa yang dibuat oleh pakcik menyebabkan adik-beradik lain agak terkilan. Hinggakan mereka tidak tahu hari itu rumah itu akan dirobohkan, termasuklah Bapak yang terkejut dengan kedatangan orang merobohkannya.

Sepatutnya bincang dahulu sebelum bertindak, kerana ianya soal meroboh rumah (hal besar), bukannya me'roboh'kan sarang tebuan di atas pokok. Nasi sudah menjadi bubur, hati yang terkilan direlakan, yang silap dimaafkan. Case closed!

KEHIDUPAN YANG BAIK BERMULA DI RUMAH !! RUMAHKU SYURGAKU!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.

Bersama Keluarga Di Sungai Sendat, Ulu Yam


"Mana pulak jalan ni. Dah la tak de line kat dalam hutan ni", saya bermonolog di dalam hati.

Jalan sudah dijumpai, tetapi ke manakah jalan ini akan membawa kami? Masya-Allah, jalannya sangat sempit sesuai dengan nama sungai yang kami akan lawati nanti. SUNGAI SENDAT.

Sungai Sendat terletak di salah satu kawasan rekreasi yang banyak terdapat di Ulu Yam, Selangor. Kawasannya agak terpencil, kita perlu melalui jalan yang sempit dan melalui perkampungan Orang Asli Moden. Petua jalannya ialah, apabila sampai ke simpang (jambatan) ke SMS Hulu Selangor, terus sahaja dan jangan belok ke kanan (jika dari Rawang). Ikut jalan yang sempit itu dan akhirnya bertemu jalan mati dan di situlah terletaknya Sungai Sendat.

BACA SETERUSNYA>>


Saya sekeluarga (lebih kurang 20 orang) yang ramainya kanak-kanak, pastinya tidak melepaskan peluang cuti sekolah untuk berekreasi sesama keluarga. Kali ini kami memilih ke sungai ini. Sangat enjoy dan menyeronokkan.

Bergambar di dalam sungai


"Mak-mak" sedang bersantai


Aksi Mardhiah dengan pelampungnya


Sedang berbincang: Mengapa ikan tak makan umpan ye?


Yeahhh.. Memancing apa tah tu!

Sambil-sambil tu, saya sempat merakamkan video pendek dengan adik-adik. Tajuk videonya ialah "Ku Tangkap Seliparmu". Semoga terhibur..




Syukur Ya Allah, kerana memberi peluang sekali lagi kepada kami sekeluarga bagi mengisi masa terluang dengan aktiviti yang merehatkan minda ini.

Terima kasih kepada Mama, Paman Arip, Paman Din dan Bibik Zura, Paman Ramli dan Bibik Noi, Acik Jam dan Bibik Mira , Umi, Ami, Nenek, Paman Ijal dan Bibik Baini di atas kesudian menyertai 'kembara' kita pada kali ini.

KE ARAH KELUARGA CEMERLANG!! Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.

Mehnah Di Bumi Utara


"Ya Allah.. Dah gerak la!!", saya berkata kepada teman.

Tren yang sepatutnya saya naiki pada pagi itu terus berlalu di hadapan mata saya. Lewat 1 minit sahaja sebelum ia bergerak. Tidak diduga, tren pada hari itu bergerak awal 5 minit dari masa yang dicatatkan pada pagi itu.

"Ya Allah.. Sayang tiket tu.. Macam mana ni?", teman saya bertanya.

"Tak pe la, tak ada rezeki hari ini nak naik tren. Cari tiket bas pulak la", saya memberi cadangan dan kami terus ke stesen bas di sebelah.

BACA SETERUSNYA>>


Pagi itu, perjalanan ke stesen keretapi Butterworth berjalan seperti biasa, mengikut rancangan kami akan dapat sampai tepat pada masanya. Saya menghantar motorsikal di kampus, sebelum itu berhenti mengisi minyak dahulu risau kalau-kalau tersadai di tepi jalan. Namun apa kan daya, nasib tidak menyebelahi saya dan saya percaya ada hikmah di sebaliknya.

Petang itu, dimaklumkan di berita bahawa sebuah tren mengangkut barang tergelincir di Guar Cempedak akibat cuaca yang terlalu panas yang menyebabkan landasan keretapi mengembang dan membengkok.


Kerja-kerja memperbaiki landasan dan mengalih tren 28 gerabak itu segera dijalankan. Akibatnya, perjalanan Kereta Api Antarabandar KTMB tergendala pada hari itu dan keesokan harinya. . Alhamdulillah.. Allah Maha Mengetahui, saya tidak terlibat dengan insiden itu.

DI STESEN BAS SEMENTARA BUTTERWORTH

"Pergi ke flatform nombor 28 ye. Tiketnya RM31 sahaja", kata kakak penjual tiket Bas Super Nice.

"Terima kasih ye kak", ucap saya kepada kakak penjual tiket bas. Saya terus menuju ke bas Super Nice di Flatform 28.


"Bang.. Betul ke ni bas pergi KL?" saya bertanya kepada pemandu bas.

"Emmm.. Ntah la. Nanti abang tanya bos", jawab driver bas itu.

Saya kehairanan, mengapa pemandu bas tidak tahu ke mana destinasi basnya? Masya-Allah, bukankah dia yang akan memandu nanti? Ada juga pemandu seperti itu ya.

Saya perhatikan, hanya saya seorang sahaja orang Malaysia. Penumpang yang lain semuanya orang Bangla, Nepal, dan Indon. Saya bagai berada di luar negara pula. Asing di bumi sendiri. Mungkin mereka mahu ber'cuti' di Kuala Lumpur kot, seperti tahun-tahun sebelum ini, KL 'diserang' pendatang asing sewaktu musim perayaan.

"Bang.. Bas ni berhenti kat mana ye? Hentian Pudu ke Hentian Duta?" saya bertanya untuk mendapatkan maklumat. Untuk dimaklumkan kepada Bapak saya.

"HENTIAN DUTAAA!!" abang itu menengking saya. Mengapa harus menengking pelanggan? Saya bertanya dengan penuh hikmah dan lemah lembut. Mungkin marahnya dengan karenah bangla-bangla barangkali. Sebelum saya bertanya, beliau baru saja memarahi seorang Mat Bangla kerana terlupa tiketnya diletakkan di mana.

Mungkin kerana tiada budi bahasa, perniagaan bumiputera kita kurang maju. MUNGKIN!! Itu yang saya perhatikan.

KISAH PENUMPANG SEBELAH

"Nama U sapa, nak turun KL ke?" saya bertanya kepada teman sebelah.

"Saya Misdur, saya Bangla. 1st Time pergi KL", jawab Misdur.

"U sudah berapa lama kat sini?" saya bertanya lagi. Sengaja menghidupkan keadaan mesra di dalam bas yang 'sunyi' itu.

"Saya sudah kerja 2 tahun setengah. Kerja itu Bagan Ajam. Kerja dengan ituuu Cina. Kedai jual kereta. Bos sudah bagi cuti satu minggu. Jadi.. Saya jalan-jalan KL la", terang Misdur.

Bas berhenti di Hentian Sebelah Simpang Pulai.

Penumpang turun untuk berehat dan buang air di tandas berdekatan. Saya segera naik ke dalam bas kerana risau ditinggalkan bas seperti ditinggalkan tren tadi. Setelah lama bas berhenti, tiba masanya ia bergerak, Misdur belum naik bas lagi. Tiba-tiba dia berlari dari Petronas sambil membawa beg plastik dan meluru naik ke dalam bas.

"Nah.. Ini U punya", kata Misdur sambil menghulurkan sebuku roti dan setin Red Bull.

"Ya Allah.. Susah-susah je", saya mengambilnya dengan rasa serba-salah dan terharu.

Saya berasa bersalah ketika itu. Mengapa tidak saya yang membelinya? Mungkin itu cara Allah memberi hikmah kepada saya, kita sangat jarang MEMBERI. Insan yang 'dipandang rendah' oleh kebanyakan masyarakat itu lebih berhati mulia daripada kita. Walaupun hidup susah, mereka tetap memberi, kerana memberi itu satu kebahagiaan. Saya mengambil iktibar. Astaghfirullah..

HENTIAN PUDU ATAU HENTIAN DUTA?

"Silap sebut kot tadi. Kami berhenti kat Hentian Pudu je", kata Pemandu Bas.

"Masya-Allah.. Bahana marah, kata-kata hilang punca, lidah kelu salah bicara", saya bermonolog di dalam hati.

Hentian Duta

ATAU

Hentian Puduraya?

Kesalahan menyebut Hentian Pudu kepada Hentian Duta, menyebabkan rancangan saya sedikit terganggu. Manakan tidak terganggu, Bapak menunggu saya di Hentian Duta, saya pula turun di Hentian Puduraya. Mujur KL tidak jam kerana cuti raya Cina, Bapak sampai dalam 5 minit sahaja. Tetapi tetap menyusahkannya.

Pelbagai ujian sepanjang perjalanan pulang. Ketinggalan tren, ditengking pemandu bas, tersalah maklumat destinasi bas. Mungkin itu sedikit sahaja ujian bagi saya apabila memikirkan insan lain yang lebih mencabar ujiannya.

Saya berdoa supaya dipermudahkan perjalanan, tetapi sebelum Allah SWT memakbulkannya, Dia mahu menguji saya dengan ujian ini untuk saya mengambil hikmah atas masalah ini. Benar Ya Allah.. Kami merancang, Engkau juga merancang, tetapi perancangan Engkau mengatasi segala-galanya. ALLAH MAHA MERANCANG DAN MENGETAHUI.

Bukan mudah untuk mendapat apa yang kita mahukan. Pasti ada ujian, dan ujian saya amat kecil dari orang lain yang lebih besar ujiannya. KEMBALIKAN KERINDUANKU!! Allah mengujinya dan sekarang Allah telah memakbulkannya. Saya selamat sampai juga di rumah yang tercinta ini. Syukur Ya Allah.

PENGAJARAN :

1) Rancang dan datang ke stesen lebih awal.
2) Hidup mesti MEMBERI walaupun kita ini sedang susah.
3) Belajar mengawal kemarahan kerana marah menumpulkan kewarasan.
4) Bersyukur dan mengambil hikmah selepas diuji Allah SWT.

Terima kasih kepada Roy yang sudi menghantar saya ke Jeti Butterworth. Terima kasih juga kepada Misdur kerana mengajar saya erti MEMBERI. Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.

Related Posts with Thumbnails

My blog has moved!

Blog Ini Akan Dipindahkan Ke Blog Baru Dalam Masa 5 Saat. Lawati
http://jamalrafaie.com