"Irah.. Irah.. Ada orang robohkan rumah sebelah, pergi tengok cepat!!" Bapak mengejutkan Irah di bilik.

Kamera Digital Sony terus dicapai Irah dan terus meluru ke rumah usang di sebelah. Irah merakamkan gambar-gambar ketika rumah usang itu dirobohkan. Sekumpulan penukang rumah yang diupah oleh pakcik sedang rancak merobohkan rumah usang yang hampir roboh itu.

Makcik (penghuni rumah usang ini dan telah berpindah ke rumah sewa) segera datang mengalihkan barang-barang yang masih tinggal di rumah itu dan seterusnya diletakkan di rumah saya. Yang masih ada rumah itu hanyalah almari pakaian dan meja. Yang lain tidak sempat diselamatkan.

Bukan terbakar atau runtuh. Tetapi DIROBOHKAN!!

BACA SETERUSNYA>>


SEJARAH RUMAH USANG INI

Rumah ini ialah rumah tinggalan arwah datuk dan nenek. Ianya rumah pusaka keluarga. Ia dibeli oleh datuk saya, Jacomah Bin Abdullah dan isterinya Yam Binti Wongsotarno. Rumah ini bukannya rumah pertama mereka, mereka tinggal di Klang sebelum berpindah ke Kuala Selangor dan di rumah inilah mereka menetap sehingga ke akhir hayat mereka.

Pada tahun 1995, rumah ini terasa 'sunyi' apabila nenek pulang ke Rahmatullah. Semenjak itu, makcik (Makcik Rom) dan keluarga yang menjaga rumah ini. Sehinggalah rumah ini sudah agak uzur dan sudah reput, makcik berpindah ke taman perumahan yang berdekatan.

Akhirnya.. Rumah ini ditinggalkan dan sesekali makcik datang menjenguknya.

MEMORI DI RUMAH INI

Saya masih kecil ketika rumah ini masih 'gagah'. Kerana itulah saya tiada memori indah dengannya. Tetapi, memorinya pasti terpalit di ingatan keluarga (adik-beradik) Bapak.

"Masa zaman muda-muda dulu, lepas balik sekolah, mesti Pakcik Dollah pergi belakang rumah cari ketam lubang. Kalau nak cari ketam yang banyak isi, jangan cari masa bulan mengambang, sebab masa tu ketam tak ada isi", cerita Pakcik Dollah ketika bertandang ke rumah saya.

"Masa kecik-kecik dulu, Mak Long la yang gosokkan baju bapak ko. Kalau baju berkedut mesti Bapak marah Mak Long "Hey Minah.. Tak cukup kanji ke baju aku ni?!". Kenalah Mak Long gosok balik, letak kanji banyak-banyak", cerita Mak Long pada sebelah malam sebelum Raya Haji di rumah saya.

Rumah dari pandangan sisi

Mak Long duduk di atas tangga rumah usang itu dan terlihat seorang adiknya sedang berjalan masuk ke arah rumah dari jalan besar.

"Hai Mat (panggilan untuk adik seorang lagi), cepat ko balik, ko kata nak pergi Klang.", tanya Mak Long kepada adiknya.

"Hisy.. Kak Minah ni, ni Jakiran la, bukan Mat. Salah orang tu, mentang-mentang lah baru cukur misai, dah tak kenal adik sendiri", kata Bapak membetulkan Mak Long untuk mengenal adiknya sendiri.

Di tangga inilah Mak Long menegur Bapak dengan panggilan "Mat"

Pastinya banyak lagi memori yang tersimpan di benak fikiran mereka adik-beradik. Di rumah inilah Bapak adik-beradik mengenal dunia dan erti kehidupan, sehinggalah mereka menjadi manusia yang berguna sekarang.

Mujahadah (bersusah payah) adalah guru yang berguna kepada manusia untuk mengenal kehidupan. Kerana kesenangan yang berpanjangan akan menumpulkan hati manusia akhirnya. Ya Allah.. Jauhkanlah diriku dari kemewahan dunia yang merosakkan.

RUMAH ITU KINI?


Rumah usang ini telah dirobohkan oleh sekumpulan orang yang diupah oleh pakcik. Dengan robohnya rumah ini, maka hilanglah sejarah dan memoirnya.. Hanya foto yang sempat dirakamkan ini menjadi kenangan.

Gambar belakang rumah sebelum dirobohkan


Keadaan rumah setelah dirobohkan


Pandangan atap yang telah dibuka


Hanya tinggal almari dan meja di bilik

Rumah ini memang sudah dibincangkan untuk dirobohkan. Bapak bercadang hendak mengadakan kenduri tahlil sebelum merobohkan rumah itu. Tetapi keputusan yang tergesa-gesa yang dibuat oleh pakcik menyebabkan adik-beradik lain agak terkilan. Hinggakan mereka tidak tahu hari itu rumah itu akan dirobohkan, termasuklah Bapak yang terkejut dengan kedatangan orang merobohkannya.

Sepatutnya bincang dahulu sebelum bertindak, kerana ianya soal meroboh rumah (hal besar), bukannya me'roboh'kan sarang tebuan di atas pokok. Nasi sudah menjadi bubur, hati yang terkilan direlakan, yang silap dimaafkan. Case closed!

KEHIDUPAN YANG BAIK BERMULA DI RUMAH !! RUMAHKU SYURGAKU!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.