"Minta maaf dik.. Tiket untuk hari Jumaat dah habis la", kata penjual tiket KTMB.

"Aduh.. Hari apa yang ada ye bang?", saya bertanya kembali.

"Kalau hari Ahad pagi ada la, jam 7.45 pagi, sampai KL Sentral lebih kurang pukul 2 petang", jawab penjual tiket KTMB itu.

"Boleh la. Ahad pun Ahad la", saya bersetuju membeli tiket tren pada hari Ahad.

BACA SETERUSNYA>>


Musim perayaan Tahun Baru Cina akan tiba tidak lama lagi. Bukannya mahu menyambutnya, tetapi raya cina ini memberi isyarat bahawa cuti akan tiba. Kebetulan juga cuti raya Cina ini bersambung dengan cuti pertengahan semester bagi UiTM. Pastinya di waktu ini, para pelajar sibuk membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman.

Begitu juga dengan saya. Hampir sebulan di Pulau Pinang ini, hati sudah terasa rindu mahu pulang ke kampung. Tidak seperti dulu, ada kalanya hampir 3 bulan saya tidak pulang, tetapi tidak pula terasa rindu. Mungkin ada sebabnya.

KEHIDUPAN YANG BERUBAH

"Kau duduk luar ke? Dengar cerita Kolej Zamrud banyak kosong. Kenapa tak apply kat dalam je?, tanya seorang teman kepada saya.

"Kalau minta InsyaAllah dapat kolej, tapi dah semester akhir kan, nak merasa jugak duduk kat luar", saya menjawab persoalannya.

"Kenapa tak mintak Kolej Mutiara? Kan duduk luar gak kan?", tanya teman saya lagi.

"Duduk di kolej perlu beri komitmen dan terikat dengan kolej. Saya nak belajar hidup sendiri, memasak, berdikari dan tidak terlibat dengan aktiviti yang terlalu banyak", saya menyimpulkan kata-kata.

Dulu - Kolej Zamrud

Sekarang - Pangsapuri Idaman

Semester akhir memberi pengalaman yang baru bagi saya. Di sinilah saya dapat bersosial dengan masyarakat di sekeliling. Jika dahulu pergi ke kelas hanya berjalan kaki, sekarang sudah menaiki motosikal ke kampus. Jika dulu hanya mampu memasak megi, sekarang sudah berpeluang memasak nasi briyani.

Mungkin kerana sudah mula hidup bermasyarakat, saya mula rindu dengan suasana di rumah. Memasak di rumah sewa menyebabkan saya terkenang penat lelah Mama memasak ke rumah.

Membayar sewa, bil air dan elektrik mengingatkan saya dengan Bapak yang bersusah payah mencari duit membayar bil-bil rumah. Banyaknya wang yang diperlukan untuk membiayai kita sekeluarga.

Menjamu jiran sebelah dengan masakan kami serumah, mengingatkan saya dengan Nenek yang selalu bertukar-tukar makanan dengan jiran sewaktu tiba waktu berbuka puasa.

Suasana mengubah seseorang, begitu juga dengan saya yang baru hendak mengenal hidup bermasyarakat ini. Kerana itulah saya mudah rindu dengan masakan Mama dan hembusan angin desa dek kerana kehidupan yang baru ini.

SUASANA DESA

"PAIE.. CUTI RAYA CINA NI TAK BALIK KE? KITORANG NAK PERGI MANDI SUNGAI CUTI NI", Bibik Mira menghantar SMS kepada saya.

"Insya-Allah.. Balik.. Jom mandi sungai!", saya menjawab SMS itu.

Keluarga saya gemar berkelah sekeluarga. Lokasinya, sungai yang jernih dan cantik! Musim cuti sekolah jarang disia-siakan begitu sahaja, pastinya terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan mengeratkan kasih sayang sesama keluarga.


Kampung halaman saya tidak ada sungai dan air terjun. Kampung saya juga sudah dilabelkan sebagai kawasan pinggir bandar kerana kepesatan pembangunan di negeri Selangor pada tahun 2005. Lihat sahaja jaringan jalan rayanya yang seperti lebuh raya, bagaimana kampung saya mahu dilabel sebagai 'kampung'? Tetapi tak apa. jalan sahaja besar, tetapi identiti kampung masih ada.

Suasananya cukup untuk mengubat kerinduan meskipun tiada sungai dan air terjun. Kerana ianya aman dan mententeramkan jiwa apabila melihat pokok-pokok pisang yang ditanam oleh Bapak di belakang rumah.

KELUARGA ANGKAT DI KG. KERUNAI, GRIK

"Sani!! Tegurlah pakcik tu, aku segan lah. Dah la first time join program anak angkat ni", saya meminta Sani (adik-beradik angkat@senior) memulakan bicara. Malu dan segan yang teramat ketika itu.

8 Disember 2007 adalah program anak angkat pertama saya sepanjang hidup ini. Pengalaman pertama kali tinggal dengan keluarga yang kita tidak kenali pastinya mengundang perasaan tidak tenang dan takut. Namun itulah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang hidup. Saya kuatkan diri hidup dengan keluarga yang asing, Alhamdulillah.. Semuanya berjalan lancar. Tinggallah saya dengan keluarga En. Faizul dan Pn. Azizah selama 5 hari di Kg. Kerunai, Grik, Perak.

Bersama keluarga En. Faizul di Grik, Perak

Mujur ada Sani, tidak lah terlalu segan sehingga tak nak keluar bilik. Apa yang mencabar kami, semua anak-anak ayah angkat kami adalah perempuan kecuali si adik bongsu. Sedikit kesulitan terutamanya soal muamalat. Alhamdulillah, semuanya berjaya kami tempuhi. Pekasam mak memang sedap!! Fresh dari sungai di sebelah rumah. Terima kasih mak.

KELUARGA ANGKAT DI KG. UNDANG, KUALA TERENGGANU

"Esok, ayoh nok bawak kamu gi jerak ayang kak hutang", kata ayah angkat saya bernama En. Zawawi.

"Huh???", saya tak faham.

"Jerak ayang! Dok fahang ke?", ayah cuba menerangkan.

"Jerat ayam ye?", saya menduga.

"Haahhhhh.. Tu la yang ayoh nok cakak", ayah gembira saya faham.

Kami berdua ketawa.

Itulah yang terjadi kepada saya dan mungkin kepada rakan-rakan yang lain sewaktu terlibat dalam program Bakti Siswa Daya Wawasan anjuran JPK Zamrud pada 11-15 Mei 2009. Saya sudah terbiasa dengan slang Terengganu kerana ramai kenalan dari sana, tetapi lain pula dengan generasi yang agak tua bertutur agaknya.

Bagaikan ayam dengan itik bercakap. Saya gelak apabila ayah bercakap, ayah pula gelak bila saya bercakap. Bukan kerana lawak, kerana TAK FAHAM!!

Bergambar kenangan dengan keluarga angkat di Kg. Undang

Hidangan keropok lekor losong yang menjadi kebanggaan penduduk pantai timur dihidangkan kepada saya. Alhamdulillah.. Saya habiskan dengan jayanya! Hidangan Nasi Dagang pula dihidangkan. Masya-Allah.. Banyaknya hidangan untuk kami. Allah murahkan rezeki di sana. Makan dan makan.

Di sini juga dapat merasa kehidupan desa yang hijau dan kebanyakkan keluarga bekerja kampung dan membuat keropok lekor. Walaupun saya juga dari kampung, tetapi separuh hidup saya berada di alam asrama yang diperap itu. Pengalaman yang cukup berharga dan bermakna buat saya.

Terima kasih Mak Zahrah dan Ayah Zawawi yang sudi menerima saya sebagai anak angkatnya selama seminggu. Jasa anda sekeluarga amat saya hargai, moga Allah memberi rahmat dan inayah-Nya. Ameen..

KEMBALIKAN KERINDUAN KU!!

Linangan air mata MAMA, Mak Azizah dan Mak Zahrah sewaktu perpisahan sungguh menyentuh hati ini. Nombor telefon keluarga angkat saya sudah tiada kerana terpadam sewaktu memformat telefon. Tetapi saya berharap dapat menziarahi mereka untuk mengembalikan kerinduan ku ini.

Insya-Allah. Pada hari Ahad ini (14/2/2010) saya akan pulang ke kampung halaman dengan menaiki tren. Perjalanan menaiki tren di waktu siang yang pertama bagiku ini akan disemai dengan rasa rindu ini.

Moga Allah merahmati perjalanan pulangku. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.