"Saya melihat lelaki pada zaman ini kurang kepimpinannya. Kerana itulah saya menulis kisah-kisah tentang lelaki dari aspek anak, suami, ayah dan daie. Kesemuanya kisah yang saya alami sendiri", kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI).

"Apa yang paling saya ingat ialah kisah seorang ahli korporat yang menceritakan tentang ibunya. Sewaktu ibunya hampir meninggal dunia, ibunya berkata "kalau ibu tak ada nanti, siapalah nak doakan kau nak", jarang kita mendengar kita doakan orang, tetapi selalunya kita meminta orang lain yang mendoakan kita", sambung Ustaz Pahrol.

BACA SETERUSNYA>>


Lelaki adalah pembimbing atau pelindung bagi wanita. Justeru, kepimpinan dan ilmu yang bermanfaat mestilah dimiliki pada setiap pemimpin bernama lelaki. Allah SWT memberikan hak talak kepada lelaki kerana lelaki mempunyai 9 rasional daripada wanita dan dapat membuat keputusan yang bernas (selalunya).

Lelaki juga ibarat nakhoda yang melayarkan bahtera rumah tangga, jika lemah nakhoda sesebuah bahtera itu, maka akan karamlah bahtera itu dilambung badai.

Sedikit mukadimah tentang NOTA HATI SEORANG LELAKI.

BICARA TENTANG PENULIS

Pahrol Mohd Juoi. Berkelulusan UiTM Shah Alam dan aktif dalam penulisan dakwah dan pendidikan Islam sejak remaja lagi. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya menjadi Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986.

Pernah menjadi kokaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dalam bidang penulisan. Beliau komited menulis dan menjadi kolumnis untuk beberapa buah majalah. Selain itu juga menulis lirik nasyid bagi kumpulan nasyid tanah air.

Kini beliau merupakan Pengarah & Penyelidik Modul, Pengurus Besar serta "trainer" di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. - sebuah perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi kerajaan, swasta dan korporat. Beliau juga adalah editor bagi majalah bercorak Islam iaitu SOLUSI yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn, Bhd.

NOTA HATI SEORANG ANAK

Tidak kira kita ini seorang ayah, datuk atau moyang, hakikatnya kita masih seorang anak kepada ibu bapa kita. Peringkat pertama untuk memupuk kepimpinan sebagai lelaki adalah berdasarkan peranan sebagai anak, sama ada baik dan buruk ibu bapa kita, kita wajib berbuat baik kepada mereka.

Terdapat sebuah kisah tentang seorang anak bernama Ramli dari sebuah kampung. Ayahnya seorang kaki judi dan pemabuk dan sangat dibenci oleh seluruh penduduk desa. Satu hari ayahnya meninggal dunia dan sewaktu perjalanan pulang dari tanah perkuburan, anak itu menangis mengenangkan nasibnya selepas itu, lalu seorang atuk menasihatinya.

"Ramli, kalau benar kamu sayangkan ayah kamu, jadilah anak yang soleh. Doakan dia. Itu saja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di alam barzakh", kata atuk kepada Ramli.

Ramli diam lalu menundukkan pandangannya.

"Untuk harumkan kembali nama baik ayah kamu di dunia, kamu belajarlah bersungguh-sungguh. Jadi orang yang berjaya dalam hidup. Insya-Allah.. Kejayaan kamu itu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikata-kata orang sekarang", nasihat Atuk kepada Ramli.

Akhirnya, Ramli sudah menjadi seorang jurutera dan juga seorang Hafiz. Menjadi Imam masjid di kampungnya dan menjadi sanjungan penduduk kampung itu. Maka harumlah nama bapanya kembali.

Gambar Hiasan

Apabila ibu bapa sudah tua, mereka memerlukan perhatian kita. Benarlah kata pujangga "Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, tetapi belum tentu 10 orang anak menjaga ibunya". Benar. Di akhir usia mereka, mereka memerlukan teman untuk berbicara dan paling tidak pun mereka mahukan orang yang mahu mendengar cerita-cerita silam mereka. Tetapi berapa ramaikah anak-anak dapat menjaga mereka?

"Aku pening la. Baru je 2 bulan lepas aku balik kampung, mak aku dah panggil balik dah. Baru je sekejap tinggalkan, dah rindu", ngomel seorang anak dengan sikap ibunya.

Saudara, sewaktu kita ditinggalkan di asrama dahulu, 1 hari ibarat setahun, seminggu ibarat seabad. Pernahkah anda berasa demikian? Kita terlalu memerlukan orang yang tersayang (ibu bapa) ketika itu kerana kita sedang dalam 'kesunyian' dan perlukan perhatian. Begitu juga dengan ibu bapa kita di rumah, lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usia, mereka perlukan perhatian kita dan bukannya kiriman wang semata-mata.

Sangat sukar untuk kita memberi perhatian kepada ibu bapa sewaktu di puncak kerjaya. Tetapi ingat, redha Allah SWT terletak pada keredhaan ibu bapa kita. Doakan mereka sama ada masih ada ataupun telah meninggal dunia. Sesiapa yang mensia-siakan ibu bapanya, hidupnya tidak berkat walaupun berada di puncak kejayaan. Wallahua'lam.

NOTA HATI SEORANG SUAMI

"Jangan melihat cantiknya isteri kita, tapi lihatlah pada kecantikannya".

Apa beza cantik dan kecantikan di atas? Cantik bererti paras rupanya yang cantik menawan memikat hati suami. Kecantikan pula ialah kecantikan budi pekertinya. Jadi mana yang kebih penting? Kalau kita melihat pada kecantikan, tidak perlukah mencari isteri yang cantik?

Bukan begitu maksudnya. Manusia suka pada benda yang cantik. Cantik pula terlalu subjektif, yang putih itu cantik, yang hitam juga cantik, ianya terpulang kepada seseorang, elok di pandangan mata maka cantiklah ia. Tetapi, bagi mengikat rasa cinta kita kepada isteri, tumpukan kepada kecantikannya. Hal ini kerana, apabila isteri kita tidak cantik lagi seperti dulu, adakah kita perlu meninggalkannya dan mencari perempuan yang lebih cantik daripadanya?

Pastinya tidak perlu kerana belum tentu yang cantik itu baik. Bersyukurlah dengan kelebihan yang ada dengan isteri kita, dan Allah SWT akan menambah nikmat kebahagiaan kepada hubungan suami isteri.


Sudah ramai lelaki yang hilang daya kepimpinannya. Buktinya, makin banyak kes-kes penceraian dan kebanyakkan boleh diselesaikan dengan sebaiknya. Pupuklah rasa cinta kembali, banyakkan berbincang jika mengalami masalah. Mengapa kita mengahwininya jika kita tidak cinta kepadanya?

NOTA HATI SEORANG AYAH

"Menjaga sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan"

Pernah tidak kita mendengar peribahasa ini? "Menjaga seorang anak lelaki lebih mudah daripada menjaga sekandang lembu". Pastinya tidak, kerana menjaga anak perempuan tidaklah sesukar yang diduga dan menjaga anak lelaki tidaklah semudah yang disangka.

Hanya cara menjaga anak lelaki dan anak perempuan yang berbeza. Tapi bagaimanakah kita hendak menjaga anak perempuan? Didiklah mereka seperti mana kita mengidamkan seorang isteri yang baik, menantu yang baik dan seorang ibu yang baik.


Dewasa ini, semakin banyak masalah sosial yang berlaku pada generasi muda. Kebanyakkannya berpunca dari anak-anak perempuan yang terlalu diberikan kebebasan oleh ibu bapa. Akhirnya mereka terjebak dengan seks bebas, minum arak dan lain-lain. Satu lagi bukti kelemahan kepimpinan seorang lelaki. Gagal mengawal anak-anaknya.

Kebebasan itu perlu tetapi perlulah diberi had yang sewajarnya. Ibarat kita bermain layang-layang, kita masih dapat mengawal pergerakan layang-layang kita itu kerana kita masih mengawal terajunya. Bagaimana pula jika layang-layang itu putus talinya? Pastinya akan terbang mengikut arah angin, kemungkinan juga akan terbang ke mana-mana sahaja dan akhirnya terhempas. Samalah seperti menjaga anak-anak.

NOTA HATI SEORANG DAI'E

Betulkan tujuan setiap amalan. Kerana tujuan kita mengenal destinasi. Bukan hanya ikut-ikutan, tetapi membina kehidupan yang mampan. Sebagai lelaki yang memimpin keluarga dan masyarakat haruslah sedar, bahawa untuk menjaga hubungan kita dengan keluarga tidak kira sebagai anak, suami ataupun ayah, hubungan dengan Allah SWT adalah kuncinya.


Apakah peranan lelaki sebagai pendakwah dalam sesebuah rumah tangga? Peranan ini berkait rapat dengan peranan lelaki itu sendiri sebagai ketua keluarga. Peranan ketua keluarga bukan sahaja mencukupkan makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri dan anak-anak. Ianya mencakupi soal kerohanian dunia dan akhirat. Maka lelaki perlulah berubah terlebih dahulu sebelum mendidik keluarganya.

BICARA TENTANG NOTA HATI SEORANG LELAKI

Buku terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd ini dijual dengan harga RM 20 sahaja. Penulis menggunakan teknik penceritaan dalam buku ini dan membahagikan sebanyak 4 bab utama iaitu dari anak peranan anak, suami, ayah dan pendakwah. Keseluruhannya, di dalam buku ini terdapat 56 buah cerita suka dan duka bagi insan bergelar lelaki.

Apa yang saya dapat kongsikan di sini hanya secebis dari selembar yang dikarang oleh Ustaz Pahrol. Tidak dapat untuk semuanya dimuatkan disini, tetapi mungkin ia dapat memberi gambaran tentang isu yang dibincangkan di dalamnya.

"Hati seorang lelaki..
Kekadang perlu sekeras waja
Ada masanya mesti selembut sutera
Ah, lelaki..
Jika jiwamu tulus kerana ILAHI
Pasti lurus perananmu sebagai LELAKI!"

Apa yang saya tulis adalah sebagai nasihat untuk diri saya yang kurang ini dan juga kepada anda semua. Kerana cabaran yang besar sebagai ketua dan pemimpin keluarga akan saya galas tidak lama lagi. Insya-Allah.. Moga buah tangan untuk kali ini memberi input yang bermanfaat kepada pembaca sekalian.

Nota : Selepas ini saya akan teruskan membawa buku berjudul "MEMBONGKAR MISTERI DAJJAL". Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.