Gambar Hiasan

Fitnah Al-Masih Dajjal telah banyak diceritakan oleh Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wasalam. Bukan hanya Nabi SAW sahaja yang menceritakan perihal fitnah dahsyat Dajjal ini, bahkan setiap nabi yang diutuskan oleh Allah SWT pasti akan memberikan peringatan kepada ummat masing-masing.

Persoalannya, mengapakah fitnah Dajjal ini dikatakan fitnah yang dahsyat yang akan melanda umat akhir zaman? Apakah istimewanya Dajjal Al-Masih ini? Tidakkah sama dengan fitnah yang dilontarkan oleh Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim a.s? Ataupun fitnah Firaun yang mengatakan beliau adalah Tuhan sekalian Alam dan memerintahkan semua rakyat menyembahnya?

BACA SETERUSNYA>>

Pastinya terdapat keistimewaan dengan fitnah yang dahsyat ini sehinggakan setiap Nabi memberi peringatan kepada setiap umatnya. Bagi pendapat saya, fitnah ini sangat dahsyat kerana Dajjal menabur fitnah ke atas setiap manusia pada setiap zaman bermula dari zaman kehidupan negara Samiri (susur galur keturunan Sam Bin Nuh) sehinggalah penghujung riwayat dunia ini.

FITNAH BESAR MENJADI BERITA YANG SAYU DAN LEMAH

Saya pernah terfikir, mengapakah ramai orang dan para ulama jarang bercerita tentang Dajjal ini walhal cerita ini telah diceritakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Adakah mereka tidak percaya dengan semua ini?

Dalam pengamatan saya sepanjang membaca buku "Membongkar Misteri Dajjal", penulis memberikan ulasan dan pendapat tentang fitnah besar yang menjadi suram ini. Menurut penulis, hal ini berlaku kerana banyak khilaf di kalangan ulama tentang bagaimana Dajjal muncul, bagaimanakah rupa Dajjal, Dajjal tinggal di mana dan bilakah Al-Masih ini akan keluar.

Apabila terlalu banyak versi yang diutarakan oleh para ulama, ia menyebabkan ramai manusia yang tidak mengambil endah tentang fitnah Dajjal ini akibat terkeliru dengan kisah ini. Akhirnya kisah ini menjadi sayu dan mengganggap cerita ini sebagai tahyul dan mistik. Nauzubillah..

HADITH RASULULLAH MENGENAI KISAH DARI TAMIM AD-DARI

Sebagai permulaan dalam kisah ini, marilah kita merenung sebuah hadith sahih yang panjang dan mahsyur yang diriwayatkan oleh ramai sahabat-sahabat Nabi SAW. Kisah ini diceritakan oleh seorang yang baru memeluk Islam ketika itu, dan beliau menceritakan pengalamannya sesat di sebuah pulau misteri dan berjumpa dengan sesuatu yang agak pelik.

Hadith ini diriwayatkan oleh Amir Ibnu Sharahil Shabi Shab Hamdan dan disampaikan dari Fatimah binti Qais dan Fatimah mendengar hadith ini terus dari baginda Rasulullah SAW. Hadith ini sangat panjang dan izinkan saya untuk meringkaskan hadith ini dalam bentuk cerita:


Pada suatu hari Rasulullah SAW naik ke atas mimbar dan berkata kepada semua para sahabat baginda yang berada di dalam masjid itu. Baginda SAW menceritakan tentang pengalaman seorang Nasrani bernama Tamim ad-Dari yang baru memeluk Islam dan berbaiah kepada baginda. Cerita yang disampaikan oleh Tamim ad-dari sangat bertepatan dengan apa yang dikisahkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat sebelum ini.

Pada suatu ketika, Tamim ad-Dari bersama 30 orang lelaki dari kaum Lakhm dan Juzdam mengharungi lautan dan dilambung badai dan gelora. Setelah dilambung badai selama 1 bulan, mereka akhirnya bertemu dengan sebuah pulau misteri yang berada di tengah-tengah lautan dan mereka berlabuh di pulau itu dengan menaiki perahu kecil.


Setibanya mereka sampai di pulau tersebut, mereka sangat terkejut apabila didatangi oleh seekor binatang yang tebal bulunya. Sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana satu bahagian belakang dan depan binatang itu.

"Apakah kamu ini?" tanya mereka kepada binatang itu.

"Akulah pengintip rahsia (Jassasah)", jawab binatang berbulu lebat itu.

"Pengintip apa?" mereka bertanya lagi.

"Tak usahlah kamu bertanya lagi. Pergilah kamu temui seorang lelaki yang berada di dalam biara (tempat pertapaan) kerana ia sangat merindukan berita dari kamu", jawab binatang itu lagi.

Mereka pun pergilah ke biara itu. Apabila mereka sampai di dalamnya, mereka menjumpai sebesar-besar manusia yang dirantai dengan kuat. Kedua tangannya dibelenggu di lehernya. Kaki dan lututnya diikat dengan besi hingga buku lalinya.

"Makhluk apakah kamu ini?" tanya mereka kepada makhluk itu.

"Sebenarnya kamu telah melihat keadaanku. Kamu pula siapa?" tanya makhluk itu kembali.

"Kami adalah bangsa Arab. Kami belayar di laut yang bergelora lalu kapal kami dipukul ombak selama sebulan dan akhirnya kami terdampar di pulaumu ini", jawab mereka.

Mungkinkah Big Foot yang disebut selama ini adalah Jassasah?

Setelah mendengar penjelasan mereka, makhluk berantai itupun bertanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang kurma di Baisan. Adakah ia masih berbuah?", tanya makhluk itu.

"Ya! Ia masih berbuah." jawab mereka.

"Sesungguhnya hampir ia tidak berbuah lagi. Bagaimana pula tentang Tasik Thabariayah? Apakah ia masih ada air?" tanya makhluk itu lagi.

"Airnya masih banyak." jawab mereka.

Lalu dia berkata "Sesungguhnya tidak lama lagi ia akan kering". Kemudian dia bertanya lagi, "Bagaimana pula dengan mata air Zughar? Apakah masih ada airnya dan apakah penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka?" tanya makhluk itu lagi kepada mereka.

"Ya! Airnya masih banyak dan penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka", jawab mereka.

"Bagaimanakah dengan nabi orang-orang ummiyin? Apakah yang dikerjakannya? Dan apakah orang-orang Arab memeranginya?"

"Dia dilahirkan di Mekah dan telah berhijrah ke Yathrib (Madinah). Ya, mereka memeranginya" jawab mereka.

"Seterusnya bagaimana perlakuannya terhadap mereka?" tanya makhluk itu berkenaan Rasulullah.

"Dia telah banyak memperolehi kemenangan terhadap mereka, bahkan hampir semua orang Arab yang ada di sekelilingnya telah mengikutinya" mereka menjawab.

"Sungguhkah itu yang terjadi?", tanya makhluk itu untuk mendapatkan kepastian.

"Ya! Sesungguhnya itulah yang terjadi", jawab mereka dengan yakin.

Lalu makhluk itu berkata:

"Kalau mereka mengikutinya, maka itulah yang terbaik. Maka sekarang ini aku ingin memberi tahu kepadamu siapakah sebenarnya aku. Akulah Al-Masih Ad-Dajjal. Rasanya sudah hampir diizinkan aku untuk keluar. Bila aku keluar nanti aku akan berjalan ke serata permukaan bumi sehinggakan tiada sebuah kampung pun yang terkecuali. Aku akan berada selama 40 hari kecuali Makkah dan Tahibah. Kedua kota ini diharamkan ke atasku. Aku dihalang oleh Malaikat dengan pedang yang terhunus. Mereka mengawal kedua-dua kota itu daripadaku dan sesungguhnya pada setiap Malaikat yang menjaganya", terang makhluk yang bernama AD-DAJJAL AL-MASIH itu.


Rasulullah SAW menghentak tongkatnya seraya berkata "Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah yakni Madinah. Bukankah aku telah sampaikan berita ini kepada kamu semua?"

"Benar, wahai Rasulullah!", para sahabat menjawab.

Mekah dan Madinah tanah yang diharamkan untuk Dajjal

"Sesungguhnya cerita Tamim ad-Dari ini bersesuaian dengan dengan apa yang pernah aku ceritakan kepada kamu semua terutamanya tentang keistimewaan Mekah dan Madinah. Ketahuilah! Dajjal itu berada di Laut Syam atau Laut Yaman. Sesungguhnya ia berada di arah Timur", terang Baginda sambil menunjukkan tangannya ke arah Timur.

*Teks hadith panjang ini boleh dibaca dalam buku "Membongkar Misteri Dajjal" di muka surat 14-19.

Setakat ini dulu untuk kali ini. Masih banyak yang perlu disingkap tentang perihal Dajjal ini. Ada masa dan ketika, saya akan sambung lagi perkongsian ini. Bagi yang mahu membaca perihal Dajjal ini, bolehlah membeli buku berjudul "Membongkar Misteri Dajjal" karangan Muhammad Nurani Maarif yang diterbitkan oleh Hijjaz Publishing Sdn. Bhd.

Anda boleh juga membaca blog ustaz saya di sini, bagi mendapat gambaran yang lebih baik.

Wallahua'alam..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.