"Ada yang pergi Turki dapat pahala, ada yang pergi Turki dapat dosa. Menentukan siapakah diri yang ingin dibawa mengembara, adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, 'Siapa kamu menentukan cara kamu melihat'. Kesannya pula ialah. 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat".

Mukadimah yang sungguh menyentuh pemikiran untuk berfikir. Ramai orang yang pergi mengembara dan melancong. Atas sifat apa? Suka-suka, menenangkan fikiran, mencari perempuan, mengkaji sejarah atau kembara iman mencari Tuhan? Setiap orang ada niatnya yang tersendiri untuk mengembara di bumi Allah Subhanahu Wataa'la ini.


Kita sendiri yang menentukannya.

SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH. Sebuah buku yang dikumpul melalui artikel-artikel tentang travelog kembara seorang insan bernama Hasrizal Abdul Jamil di bumi Turki. Semua bahan yang terdapat dalam buku ini telah diterbitkan terlebih dahulu di blog saifulislam.com. Namun saya lebih gemar untuk membacanya dalam bentuk buku kerana impaknya lebih menonjol. Tambahan pula saya belum pernah membacanya di blog beliau.

TENTANG BUKU INI

Saya tidak mahu untuk mengulas dan berbahas tentang apa yang diceritakan oleh penulis dalam buku ini. Tetapi saya lebih berminat untuk berkongsi serba sedikit tentang isu besar yang diketengahkan dalam buku ini.

Mengenal Turki dari mata hati.

1. TURKI SEKULAR ATAU ISLAMIK?

Selepas kejatuhan kerajaan Islam Turki Othmaniyyah, Turki telah dilihat sebagai blok sekular yang baru. Hampir keseluruhan Islam telah dihapuskan oleh Mustafa Kemal Ataturk dengan dasar sekularnya. Persoalannya, masih adakah Islam di bumi Turki?

Turki adalah negara yang unik.

Negara Dua Benua dan terjadinya pertembungan puak Sekular dan Islam yang dahsyat!

Jika kita ke Turki sebagai pelancong, mungkin kita akan melihat Turki yang sekular terutamanya di Istanbul. Deretan pusat tarian gelek dan gerai majalah lucah menjadi 'penyeri' di sana. Itu Turki yang sekular. Mana Turki yang Islam?

Catatan penulis menceritakan Islam sangat subur di Draman, Fatih, Eyup dan banyak lagi pekan-pekan kecil yang dihuni oleh penduduk yang komited dengan peraturan Islam. Tempat-tempat ini seolah-olah tidak pernah mendengar tentang Ataturk dan Ismet Inonu. Jutaan para Huffaz telah dilahirkan bagi memartabatkan Islam di sana.

Turki. Negara Dua 'Alam'.

2. TEH PENGUBAT LETIH

Ustaz Hasrizal menulis tentang perihal teh di Turki. Orang Turki hantu teh. Dimana-mana sahaja pasti ada teh. Teh di Malaysia dan teh di Turki sangat berbeza. Teh di Malaysia jika terlalu banyak diminum akan mengundang masalah perut yang memulas. Tetapi tidak di Turki. Saya amat tertarik dengan perihal teh di Turki ini.

Teh di Turki [sumber : saifulislam.com]

Teh di Turki direbus sehingga masak. Tidak di Malaysia yang kita hanya celup sahaja uncang teh di dalam air panas untuk menyediakannya. Apabila teh ini direbus sehingga masak, maka air teh tersebut akan menjadi teh pekat tanpa gula. Kita sendiri yang akan menentukan sama ada mahu teh yang pekat atau cair, manis atau tidak. Menarik bukan? Maka anak dara di dapur tidak lah terlalu risau jika terbuat teh yang terlalu cair dan tawar!

"Minum teh dekat Turki tak tambah gula. Masukkan gula kiub dalam mulut, pastu baru minum dengan teh. Itu gaya orang Turki", Bapa saya menceritakan pengalamannya melancong ke Istanbul beberapa tahun yang lepas.

Meminum teh sambil mengulum gula kiub di dalam mulut sangat unik. Kemanisan tehnya sekata sahaja, tidak terlalu manis atau terlalu tawar. Rasa manis yang sebenar. Ini yang menarik minat saya hendak ke Turki ni. Hai..

3. WARTA BERITA SANGAT POPULAR

Bayangkan anda sedang berborak dengan seorang rakan. Perbualan itu sedang hangat dan rancak. Tiba-tiba boleh terputus hanya kerana warta berita di Televisyen? Itulah perangai orang Turki. Mereka sangat mengambil berat tentang isu semasa sehinggakan siaran berita adalah yang paling popular di sana. Di Malaysia mungkin Akademi Fantasia dan Mentor barangkali.

Sifat mereka yang sangat mengambil berat tentang isu semasa patut kita contohi. Tidaklah hanya berada di bawah 'tempurung kelapa' yang hanya mengundang perangai 'AKU TIDAK PEDULISME' bak kata Ustaz Hasrizal.

4. TIADA KULIAH MAGHRIB!!

Di Turki tiada budaya Kuliah Subuh dan Maghrib seperti di Malaysia. Bagaimana mereka menuntut ilmu jika tiada kuliah ilmu di Masjid? Mereka mempunyai budaya mengambil tahu hal semasa dan budaya membaca yang tinggi. Oleh sebab itu mereka kurang mengamalkan budaya kuliah agama di masjid-masjid mereka.


Tiada ustaz atau ustazah yang popular di sana seperti di Malaysia. Mereka lebih meminati penulisan berbentuk pandangan yang boleh dibaca di dada akhbar mereka. Bagi mereka itu adalah sumber ilmu dan kadang-kadang ceramah agama ini lebih membawa kecelaruan dalam pemikiran mereka.

5. SUASANA POLITIK YANG GENTING

Selepas kejatuhan kerajaan Islam di Turki, suasana politik di Turki semakin mencabar. Pertembungan antara puak sekular dan puak Islam sentiasa berlaku. Namun sekarang politik Islam kembali menyinar di sana, tetapi terlalu hebat ditentang oleh puak sekular terutamanya daripada tentera Turki.

Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Necmettin Erbakan (kanan)

Nama seperti Necmettin Erbakan (Parti Refah) dan Recep Tayyib Erdogan (parti AKP) membawa sinar baru kepada kebangkitan Islam di Turki. Perjuangan mereka mendapat tentangan yang hebat daripada puak Sekular yang kurang senang dengan politik Islam.

Kedua-dua pemimpin ini telah diperangi sehinggakan parti pimpinan mereka diharamkan dan mereka disumbat di dalam penjara. Sekolah Tahfiz ditindas, Fakulti Islam ditutup, pengharaman pemakaian tudung bagi perempuan dan lain-lain lagi. Mungkin kerana itu Turki dilanda gempa bumi yang dahsyat pada 17 Ogos 1999. Wallahua'lam.

SEKITAR BUKU INI

Terlalu banyak input yang boleh dikongsikan dalam buku ini. Isu di atas hanya secebis sahaja dari keseluruhan yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal. Buku ini adalah buah tangannya yang keempat selepas Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai Ke Syurga dan Rindu Bau Pohon Tin.

[klik gambar untuk imej lebih besar]

Buku ini diterbitkan oleh syarikat Galeri Ilmu Sdn. Bhd yang telah menerbitkan buku-buku sebelum ini. Buku ini juga dapat membawa kita ke bumi Turki dengan pandangan sisi yang lain iaitu bukan dari segi pelancongan semata-mata. Ianya kembara menerusi hati dan bukannya hanya melihat dari mata yang mempersonakan. Tahniah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil!

Jika berminat dengan buku ini bolehlah membelinya di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga dibeli secara online (di sini) dengan harga RM 25.00 sahaja.

NOTA : Saya sedang mula membaca buku karangan beliau yang seterusnya yang berjudul Murabbi Cinta. Seorang Murabbi. Murabbi Cinta.

JIKA LETIH BOLEH MINUM SECANGKIR TEH!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.