[source : www.constructionweekonline.com]

Berita gembira! Gaji Pengawal Keselamatan akan dinaikkan sebanyak RM 1100 hingga RM 1450 bermula dari 1 Julai 2010 ini. Berita ini pasti mengembirakan 150 000 Pengawal Keselamatan yang bertugas di seluruh Malaysia.

Bayangkan jika anda menerima gaji sebanyak RM 400 sebulan, mampukah anda untuk menanggung kehidupan anda sekeluarga. Jika zaman dahulu mungkin angka ini relevan tetapi tidak untuk kehidupan sekarang yang penuh dengan cabaran. Saya sedih melihat nasib pengawal keselamatan (dan pekerjaan yang berkaitan) yang menerima gaji yang begitu sedikit untuk kehidupan sekarang. Banyak masa kerjanya, kurang bayaran gajinya.


Ada orang yang beranggapan pekerjaan seperti ini tidak perlu dibayar mahal, jika dibayar mahal, apa bezanya dengan pekerja yang memiliki ijazah? Benar. Mereka tidak boleh dibayar sama dengan bayaran yang diperolehi oleh pekerja 'ijazah', tapi janganlah terlalu sedikit sehingga menyempitkan hidup mereka. Gaji minimum RM 1000 mungkin lebih relevan sekarang.

PENGORBANAN SEORANG PEKERJA

"Saya dah 3 bulan tak dibayar gaji", kata seorang pemanggil di slot pagi ERA beberapa tahun yang lepas.

"Habis tu kenapa awak tak tukar tempat kerja je? Kalau saya la, cari kerja lain je kalau Bos tak bayar gaji", balas penyampai radio yang bernama Khairil Rasyid.

"Saya suka dengan tempat kerja saya. Suasananya seronok, kawan sepejabat yang baik dan sporting. Susah saya nak tinggalkan tempat kerja ni walaupun belum dibayar gaji", jawab si pemanggil itu.

DJ tergamam, tiada komen susulan apabila si pemanggil mengeluarkan kenyatan itu. Kerja tanpa dibayar? Sungguh sukar dicari. Walau bagaimanapun, pekerja tetap seorang pekerja, bukan seorang kuli yang tidak perlu dibayar gaji.



Di suatu pagi yang hening saya terserempak dengan seorang sahabat lama di kampus, lama tidak bertemu dengannya. Saya menyapanya apabila melihat beliau seorang diri di bawah pondok rehat.

"Apa khabar? Lama tak jumpa kau. Kenapa tiba-tiba ada kat kampus ni?", saya bertanya kepada sahabat lama saya tadi.

"Kurang baik la. Aku nak cari Abang Isman, tak bayar-bayar lagi gaji aku. Tak la banyak sangat, dalam RM 300 je, tapi duit jugak tu", katanya yang ingin menuntut tunggakan gajinya dari Abang Isman (bukan nama sebenar). Bekas majikannya yang mengusahakan Cyber Cafe di kolej.

"Duit dia banyak tapi liat nak bayar gaji pekerja. Dah berapa ramai pekerja dia lari sebab tak dapat gaji. Mana boleh macam tu, kita bekerja, bukan jadi kuli untuk dia", saya mendengar luahan hatinya yang tak berpuas hati.

Saya bersimpati dengan nasibnya. Sungguh tekun beliau bekerja sewaktu bersama majikannya, kini lain pula ceritanya. Banyak juga cerita yang saya dengar tentang majikan yang liat untuk membayar gaji pekerjanya. Bukan kerana ekonomi tidak stabil, tetapi memang selalu bertangguh bayaran gaji kepada pekerja. Mungkin mahu berlagak sekejap dengan prestasi keuntungannya yang banyak sehingga terlupa ada orang yang 'berkongsi' sama kekayaan itu.

GAJI NAIK PRESTASI KERJA NAIK TAK?

Masuk kerja pukul 8 pagi. Baru saja letak beg di atas meja, kawan-kawan dah ajak sarapan pagi di warung tepi jalan. Balik ke pejabat dalam lingkungan pukul 9 pagi dan kerja pun baru bermula. Jam 10.30 pagi, keluar lagi ke warung Mamak pekena Teh Tarik dan roti canai bersama rakan-rakan. Dipendekkan cerita, jam 11.30 pagi pulang ke pejabat. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari, perut pula terasa lapar, keluar makan lagi di warung nasi campur dan rehat sehingga pukul 2.00 petang. Jam 5.30 petang, beliau pun pulang.

Berapa lama masa untuk makan dan berapa lama masa untuk bekerja?

Prestasi kerja seperti di atas menyebabkan kualiti kerja menurun. Pernah suatu hari semasa saya mahu berurusan dengan sebuah unit di kampus, saya terpaksa datang hampir 4 kali semata-mata untuk berurusan dengan unit itu. Alasannya mudah, "staf yang uruskan benda ni tak ada la, dia pergi makan". Yang peliknya, 4 kali yang saya datang ke unit itu pada hari yang sama, 4 kali jugalah staf itu keluar makan.

Setiap pekerja diberi waktu rehat oleh majikan, tetapi jika waktu rehat itu melebihi waktu bekerja, bagaimana sesuatu organisasi itu hendak maju dengan jumlah masa kerja seperti itu? Mujur bekerja di sektor kerajaan, untung rugi pun gaji tetap masuk.

"Cuba kau tengok apa yang dia tengah buat tu", seorang rakan menunjukkan 'sesuatu'.

"Masya-Allah.. Main PES (game permainan bola sepak) masa tengah kerja. Banyak lagi kerja yang kena buat. Tu.. Pensyarah kita minta tolong betulkan mesin, dia kata 'nanti saya buat'. Kalau macam ni, bila nak siap", mengeluh seorang lagi rakan.

Tak semua pekerja seperti itu, hanya segelintir sahaja yang bersikap endah tak endah dengan kualiti kerjanya. Dengan pengumuman kenaikan gaji oleh kerajaan, pengumuman itu perlu diraikan oleh pekerja (kerajaan) dengan memberi kualiti kerja yang lebih baik dan bukannya berfikir 'boleh la aku tukar kereta baru'.

PEKERJAAN ADALAH IBADAH

Ramai orang yang hanya menggantung ibadah hanya di pagar masjid. Ibadah yang bermula apabila masuk ke masjid dan habis apabila melangkah keluar. Hakikatnya, apa yang kita lakukan dikira sebagai ibadah termasuklah bekerja. Kenapa dikira juga sebagai ibadah?

"Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah ‘CEO’ kita. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.


Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.


Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.


Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.


Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya."

(Ustaz Hasrizal - Saifulislam.com)

Seorang pekerja bekerja dengan jujur, tidak ponteng kerja, amanah dengan tugas dan rajin berusaha. Bukankah bersifat jujur, amanah dan rajin itu dikira sebagai ibadah? Perspektif yang mengatakan pekerjaan bukan ibadah mengundang masalah seperti penerimaan RASUAH atau SUAPAN barang kali. Baginya ibadah lain, bekerja lain. Itu yang bahaya.


Pekerjaan adalah kehidupan.

Perkiraan biasa, seseorang itu akan bekerja selama 30 tahun sehinggalah mereka pencen. Bermakna sebahagian daripada hidup kita adalah untuk bekerja. Hidup perlu diraikan dengan kebahagian. Oleh kerana itu, banyak syarikat di dunia ini yang memberi banyak kemudahan kepada pekerjanya bagi membalas keringat mereka.

Rasulullah Solallahu A'laihi Wasalam bersabda :"Bayarlah upah kepada pekerjamu sebelum kering peluhnya"
(Riwayat Ibnu Majah dan Tabrani)

Oleh itu, majikan perlulah menghargai pekerja yang bekerja sebaik mungkin untuk menaikan prestasi majikannya. Gaji jangan lupa dibayar kerana pekerja bukan seorang hamba. Pekerja pula perlulah memberikan prestasi kerja yang tinggi kepada majikannya. Jika kedua-dua pihak saling bekerjasama, ekonomi negara akan mencapai tahap yang membanggakan. Insya-Allah.

P/S : Terima kasih kepada semua pekerja di Malaysia. Kerana kudrat andalah kita sama-sama dapat hidup dengan aman dan damai. Nelayan mencari ikan di lautan, kita dapat memakan ikan tersebut. Buruh bekerja di tapak pembinaan, apabila siap kita pula yang mendudukinya. Pengawal keselamatan bersengkang mata menjaga kawasan, kita mendapat nikmat keamanan berkat dari kerja mereka. Begitu juga untuk semua pekerja di sektor lain. Alhamdulillah. Moga Allah membalas hasil kerja anda semua dengan balasan yang terbaik.

Anda adalah ASET negara!

Selamat Hari Pekerja.

PEKERJA TERBILANG IMPIAN DIJULANG!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.