"GEDEBUSSS"

Saya tenggelam di dalam kolah air. Lemas tidak boleh bernafas. Diangkat menghirup nikmat udara, dan dicelup semula ke dalam kolah air itu. Berulang-ulang kali sehingga menangis.

Kejamkah? Tidak! Ianya satu pengajaran kepada saya kerana terlalu nakal mengacau adik-adik ketika itu. Akibatnya saya 'dilemaskan' di dalam air oleh Pakcik kerana kenakalan saya itu. Saya masih ingat peristiwa itu bukan kerana dendam, tetapi sebagai pengajaran yang mendewasakan saya hingga ke hari ini.


Nakal Bukan Bermakna Jahat!

Disebalik kenakalan itu tersimpan seribu makna kepada jiwa kanak-kanak. Makna yang mencari jati diri ke arah dewasa. Ya. Kanak-kanak atau remaja selalunya nakal. Tetapi adakah 'kenakalan' itu memberi tiket untuk melakukan apa sahaja seperti merompak, merogol, mencuri dan memandu tanpa lesen di kalangan remaja boleh dikira sebagai nakal?

Saya selalu memikirkannya, senakal-nakal kanak-kanak atau remaja zaman dahulu tidaklah sejahat remaja di zaman sekarang (segelintir yang melampau). Mungkin kerana  kurangnya diajar budi bahasa sehinggakan remaja zaman sekarang sudah tidak reti bahasa! Walaupun subjek sivik diajar di sekolah, ia tidak dapat mengurangkan kadar 'kenakalan' remaja itu dan hanya diajar untuk skor dalam peperiksaan barangkali.

SAYA BARU BERUMUR 21 TAHUN

"Tipulah.. Kakak tak percaya awak umur 21 tahun!", seorang senior tidak percaya dengan umur saya. Terpaksalah saya menunjukkan Kad Pengenalan saya untuk membuktikan bahawa saya berumur 21 tahun! Aduh.

"Terkejut saya, anak muda seperti awak boleh uruskan program yang besar macam ni", kata pula seorang pengunjung semasa konsert Malam Aspirasi Islam dua tahun yang lepas. Ketika itu saya baru berumur 19 tahun.

21 tahun. Umur yang muda.

"Umur muda lagi ada hati nak bagi pandangan"

"Aku lagi awal makan garam dari kamu! Budak mentah. Mana boleh fikir lagi"

"Jangan nak bagi pandangan. Ingat! Kalau kail panjang sejengkal, jangan laut hendak diduga"

Ada apa dengan umur? Adakah kematangan ditentukan dengan umur? Ada sahaja si dewasa yang masih mengulum Loli Pop dan bersifat kebudak-budakan di khalayak ramai walaupun sudah berumur 30 tahun! Kematangan tidak ditentukan dengan umur tetapi mungkin pengalaman yang serba kekurangan. Ada juga yang mempunyai banyak pengalaman tetapi tidak mahu mematangkan diri dengan pengalaman itu. Ia satu kerugian besar.

Jadi. Apa yang boleh kita bezakan dari umur?

SAYA JUNIOR DAN ANDA YANG LEBIH TUA ADALAH SENIOR SAYA

"Yang Tua Dihormati, Yang Muda Dikasihi".

Apa maknanya itu? Adakah seorang yang lebih muda boleh bersikap kurang ajar dengan yang lebih tua hanya kerana mempunyai ilmu yang lebih tinggi? Tidak. Yang lebih tua wajar diberi penghormatan dan panggilan yang sesuai dengan tahap umur seseorang.

Yang tua kepada yang muda bagaimana?

Yang Muda Dikasihi Yang Tua Dihormati - Gambar Hiasan

Perbuatan merendahkan orang muda bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Anak muda digambarkan sebagai berfikiran singkat, tidak berfikir panjang dan belum mengenal erti kehidupan. Anak muda kurang berpengalaman dalam kehidupan. Maka pengalaman itu perlulah dikongsikan bersama anak-anak muda ini. Itulah falsafah 'Yang Muda Dikasihi' bagi saya.

CETUSAN DIRI DI ALAM REALITI

Umur 21 tahun adalah satu proses peralihan daripada alam remaja kepada alam dewasa. Jika zaman remaja dahulu kita terlalu banyak bermain, tetapi di alam dewasa ini perlulah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Umur di sekitar 20-30 tahun adalah tahun yang mencabar. Sepanjang 10 tahun ini akan menyaksikan perubahan yang besar dalam kehidupan seseorang. Habis belajar akan bekerja, selepas itu akan ke alam rumah tangga dan penukaran status dari seorang bujang kepada suami dan Bapa. Masanya akan tiba jua. Insya-Allah.

Jangan mengatakan 'Kita Masih Muda Lagi', 'Kita Masih Belajar', 'Muda lagi, enjoy la dulu'. Ayat itu adalah bukti kita masih belum matang lagi. Ia juga dapat melumpuhkan potensi diri menuju Ilahi.

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu…”
(Surah Al-Hujurat ayat 13)

Semulia-mulia manusia adalah yang paling bertaqwa dan bukan mengikut umurnya.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengucapkan 'Selamat Ulang Tahun Ke-21' kepada saya. Umur kita bertambah tetapi kuantiti masa kita di dunia ini semakin berkurang sebenarnya. Moga doa yang kita lafazkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala memberi rahmat kepada kita semua. Amin. Insya-Allah..

NOTA :  Selamat Hari Lahir juga kepada Cikgu Azimah (guru saya di SBPI Sabak Bernam) yang berkongsi tarikh yang sama dengan hari lahir saya. Juga kepada Penasyid Terkenal Negara iaitu Saudara Nazrey Johani (ex-Raihan) yang tarikh hari lahirnya juga jatuh pada 12 Mei. Sebarkan doa sesama Muslim, setiap hari lagi dan lagi bagi menuju redha Ilahi.

SATU PERMULAAN YANG BARU DI ABAD 21!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.