Gambar Kenangan Kelas (2002)

Persiapan sambutan Hari Guru di kelas darjah 6 Gagah telah disiapkan. Kerusi meja tersusun rapi, belon-belon bergantungan, kad-kad ucapan 'Selamat Hari Guru' disemat di sekeliling kelas ibarat kad Hari Raya digantung di rumah sewaktu musim perayaan.

Pagi itu, semua murid kelas 6 Gagah datang ke sekolah dengan wajah yang ceria. Hari ini Hari Guru, pastinya segala yang dicurahkan oleh guru mereka, Cikgu Hasimah, akan 'dibalas' dengan sambutan ini. Murid-murid melakukan persiapan terakhir sebelum cikgu mereka sampai ke kelas.


"Bangunnnnn... Assalamualaikum Cikgu Hasimah", Ketua Kelas, Ahmad, memberi salam.

"Assalamualaikum Cikgu Hasimah", sambut murid-murid lain dengan semangatnya.

"Waa'laikumsalam.. Murid-murid bolehlah duduk. Wah! Cantiknya hiasan kelas ni. Pandai kamu semua menghias kelas yer", Cikgu Hasimah memuji anak didiknya.

"Biasalah cikgu.. Anak murid siapa kan? Hehe", Ali menambah pujian Cikgu Hasimah itu sambil disambut dengan gelak ketawa murid-murid yang lain.

Selepas mereka semua menjamu selera di dalam kelas, tibalah masa untuk majlis penyampaian hadiah sempena Hari Guru kepada Cikgu Hasimah. Setiap pelajar memberikan hadiah kepada Cikgu Hasimah.

"Terimalah jam tangan yang saya beli di Jusco cikgu, lawa kan?", kata Daud.

"Cikgu, ini dia beg tangan yang baru untuk cikgu. Mesti Cikgu suka kan?", kata Puteri pula.

"Pen yang mahal lagi berkualiti untuk Cikgu. Mahal tu Cikgu. Saya rasa hadiah saya yang paling mahal hari ini. Itu tandanya saya sayangkan Cikgu!", kata Anwar dengan berlagaknya.

Cikgu Hasimah sungguh terharu dengan hadiah yang diberikan oleh anak-anak muridnya. Tiba-tiba Cikgu Hasimah terpandang Halim. Wajahnya nampak sedih. "Mengapa Halim muram saja?", Cikgu Hasimah bertanya kepada Halim.

Zip beg sekolahnya dibuka, terdengar bunyi sebungkus beg plastik dikeluarkan dari beg sekolahnya.

"Cikgu, saya sedih bila melihat kawan-kawan yang lain dapat berikan cikgu hadiah yang mahal-mahal. Saya tak mampu, saya dan ayah menebang pokok pisang yang ayah saya tanam sendiri di belakang rumah. Hari ini saya bawakan cikgu seikat buah Pisang. Adakah cikgu akan menerimanya?", Halim meluahkan perasaan.

Air mata menitis di pipi Cikgu Hasimah, tersentuh hatinya dengan keikhlasan si Halim seraya berkata : "Halim, seikat Pisang inilah hadiah yang paling berharga yang Cikgu dapat pada hari ini. Cikgu bukan inginkan hadiah yang mahal-mahal, yang penting keikhlasan anak murid cikgu untuk menuntut ilmu adalah hadiah yang besar untuk seorang Guru".

Semua murid darjah 6 Gagah menangis dek peristiwa sebentar tadi. Hari ini mereka belajar sesuatu.

Keihlasan Guru Mendidik Anak Bangsanya.

BUAT GURU-GURUKU

Tatkala jariku menaip, saya terfikir. Siapakah insan yang mengajar saya menulis, mengeja dan mengira? Kita sering terlupa dengan jasa guru-guru kita. Mungkin kerana kita sudah mencapai status akademik yang tinggi, kita lupa dengan insan yang mengajar kita, A B C, dan 1 2 3..

Jasamu terlalu besar wahai guru. Ilmu yang dikau turunkan kepada anak didikmu menjadi jariah di dunia dan akhirat. Tanpamu siapalah diriku. Tanpamu 'cacat' dan 'tempanglah daku. Moga semua insan yang mengajarku erti kehidupan ini disinari cahaya Ilahi yang menyinari sanubari.

Tadika KEMAS Kg. Pasir Tuntong


Sekolah Kebangsaan Assam Jawa


SMKA Kuala Selangor


SBP Integrasi Sabak Bernam

Selamat Hari Guru kepada guru-guruku di Tadika Kemas Kampung Pasir Tuntong-1995 (Cikgu Jamaliah), guru-guru di Sekolah Kebangsaan Assam Jawa - 1996 hingga 2001, guru-guru di SMKA Kuala Selangor - 2002 hingga 2004, dan guru-guru di SBP Integrasi Sabak Bernam - 2005 hingga 2006.

Tiada ungkapan yang dapat saya ucapkan untuk membalasnya, kerana jasa kalian sangat berharga dan tidak mampu dibalas oleh sesiapa pun. Moga Allah membalas jasa guru-guru semua dengan rahmat-Nya. Insya-Allah.

GURU O GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

NOTA : Saya terlewat untuk menyiarkan entri ini. Masa mencemburui saya lagi. Mohon ampun.

TERIMA KASIH CIKGU..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.