[Sumber : Berita Harian]

"HA! Adoi.. Kenapa la tak masuk!"

Riuh rendah suasana 'stadium' di rumah saya. Aksi-aksi yang mengecewakan melebihi aksi yang mengembirakan ditunjukkan oleh pemain Malaysia. Kecewa dengan kekalahan berturut-turut pasukan negara. Kalah menang adat pertandingan. Saya meredakan kekalahan Malaysia terhadap China dengan kata-kata itu.


Kalah menang adat pertandingan?

Ya. Kalah, menang, seri, tersingkir adalah adat pertandingan. Namun apa yang perlu dimuhasabah adalah pengajaran disebalik kekalahan itu. Apakah pemerhatian saya?

APA JUA ALASAN TETAP PERLU BERUBAH

"Kami telah bermain dengan baik. Mungkin kerana kurang fokus menyebabkan permainan kami terganggu", kata seorang pemain Negara kepada wartawan.

Kurang fokus adalah salah satu alasan yang popular. Benar, bebanan amanah Negara yang tinggi akan menyebabkan perasaan terganggu dan akhirnya fokus akan berkurangan. Namun saya yakin ada faktor lain yang lebih besar yang menjadikan permainan serba tidak menjadi.

Kurang latihan dan taktik.

Sepanjang Piala Thomas 2010 berlangsung, saya dapat perhatikan terdapat kekurangan dalam corak permainan pemain Malaysia.

1. Bola Tangkis Selalu Keluar

Masalah ini dapat diperhatikan dalam corak permainan Wong Choon Han. Terlalu kerap hantaran bola tangkisnya terkeluar gelanggang.

Corak permainan yang sering menuju ke garisan memerlukan skill yang tinggi. Selain itu, ianya bergantung kepada nasib sama ada bola itu akan jatuh di dalam garisan atau di luar garisan. Ternyata nasib bola tangkis terjatuh di dalam garisan lebih memihak kepada pemain China.


Kesilapan di garisan sangat merugikan. Pada pendapat saya, cuba elakkan untuk pemain negara bermain dengan garisan sebelum memiliki skill dan latihan yang mencukupi.

Sejumlah besar mata yang diperolehi oleh China adalah daripada kesilapan pemain Malaysia yang bola tangkisnya selalu terkeluar gelanggang. Rugi-rugi.

2. Main Di Jaring Mesti Sangkut

Jangan bermain jaring dengan Lin Dan!

Kesimpulan awal yang dapat diperolehi sewaktu Dato' Lee Chong Wee bermain dengan Lin Dan (pemain China). Pemain Malaysia masih memerlukan banyak latihan dalam permainan di bahagian jaring. Lin Dan sangat cekap bermain di jaring, mudah sahaja beliau mematahkan hantaran Chong Wee.

Pemain kita perlu banyak menumpukan latihan permainan di jaring ini. Masalah mereka, asal main di jaring saja mesti tersangkut juga.

3. Bola Tanggung Yang Mesti Ditanggung

Memberi bola tanggung akan memberi peluang besar kepada lawan untuk melakukan smash! Apa yang saya dapat perhatikan, pemain China seboleh-bolehnya tidak memberi bola tanggung kepada pemain Malaysia. Tetapi pemain Malaysia selalu memberi bola tanggung kepada mereka. Mungkin ianya adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan tetapi ianya selalu berlaku.


Perlukan banyak latihan lagi untuk memantapkan hantaran bola tangkis kepada pihak lawan ya. Orang lain boleh lakukan, kita juga pun mampu melakukannya.

Jika anda memberi bola tanggung, maka tanggunglah akibatnya!

4. Dah Penat Ke Bang?

Salah satu komen Ketua jurulatih pasukan China terhadap pasukan Malaysia ialah "Malaysia diwakili oleh pemain-pemain yang lama".

Pemain lama mempunyai pengalaman yang luas dalam selok belok pertandingan. Namun jangan terlupa tentang stamina dan tenaga. Ramai pemain Malaysia yang termengah-mengah apabila memasuki game yang kedua. Keletihan mengganggu prestasi permainan lebih-lebih lagi jika terpaksa berentap di pusingan Rubber Game.

Perlukah Malaysia menukar pemain yang lebih muda di perlawanan akan datang? Pendapat anda?

MASIH BOLEH DIUBAH

Out, Jaring, Tanggung dan Letih.

Satu kesimpulan yang dapat saya perhatikan pada pemain pasukan kita. Terlalu banyak yang perlu diperbetulkan lagi. Jika cara permainan seperti ini masih diteruskan, saya bimbang Piala Thomas masih belum lagi boleh menjadi milik kita.

Malaysia Juara Piala Thomas 1992

Harapan rakyat Malaysia yang ingin pasukan negara merampas kembali Piala Thomas 2010 ini telah tinggal kenangan. Perjuangan Malaysia telah berakhir setakat ini sahaja. Apa pun, peluang masih lagi terbuka di kejohanan Piala Thomas yang akan datang. Pastinya semangat Piala Thomas 1992 tetap membakar semangat pemain-pemain Malaysia untuk merampas kembali piala yang berprestij itu.

Ketengahkan bakat-bakat baru. Saya yakin masih ramai lagi yang boleh menggalas tugas dan amanah yang besar ini. Teruskan latihan dan mantapkan kemahiran permainan. Semoga sukan Malaysia terus mekar di mata dunia. Insya-Allah..

NOTA : Saya menulis atas sifat peminat Badminton Malaysia sahaja. Apa yang diperkatakan adalah daripada pemerhatian saya. Saya bukan seorang pemain Badminton yang hebat, tetapi ingat, jika saya bermain Badminton dengan Lin Dan, pasti saya akan mendapat tempat kedua. Hehe..

MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.