"Aku dilahirkan di sebuah kilang elektronik yang terletak di negara China. Setelah aku siap dipasang, lalu aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak dan dihantar ke suatu tempat menaiki pesawat. Aku menunggu sahaja dengan sabar sementara menunggu pesawat yang membawaku tiba di destinasi yang hendak dituju.

Masa yang ku tunggu telah pun tiba. Pesawat yang membawaku terbang tinggi telah selamat mendarat. Aku disambut oleh seorang peniaga dan aku bersama rakan-rakanku yang lain dibawa ke kedainya. Aku masih tidak tahu lagi dimanakah aku akan dibawa. Tapi aku dapat perhatikan terdapat banyak feri di kawasan itu dan kedai peniaga itu terletak di sebuah jeti..

Ya.. Aku tahu sekarang aku dimana, aku di sebuah pulau yang diberi nama Pulau Langkawi.


Aku dipamerkan di ruang pameran berkaca di kedainya bersama rakan-rakanku yang lain. Setiap hari aku dibelek dan dipegang oleh pengunjung kedai yang lalu lalang di jeti itu. Sehinggakan pada suatu hari datang seseorang yang bersama keluarganya datang ke kedai kamera itu.


Mereka membelek diriku dan akhirnya aku dibeli oleh mereka. Aku dibawa pulang ke rumah tuan baruku itu dan aku berkhidmat mengambil gambar-gambar kenangan keluarganya, mengambil gambar sedih, gembira, formal dan candid. Hampir 4 tahun aku bersama dengannya, namun pada suatu hari yang hening...

Prakkkk!! Aku terjatuh di atas lantai. Sakit sungguh badanku, aku dapat rasakan badanku berkecai. Tuan aku berusaha menyelamatkanku, namun tidak berjaya. Kanta fokusku telah kabur, aku tidak mampu 'melihat' lagi. Tuan ku teramatlah sedih dengan kemalangan yang menimpa diriku.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, aku yang merasai semuanya. Setelah lama berkhidmat bersama tuan ku, sekarang aku tidak mampu berkhidmat lagi. Lalu aku diletakkan di dalam almari untuk dijadikan peninggalan nostalgia keluarganya. Itulah riwayat hidupku sebagai sebuah kamera. "

SETELAH MENULIS SEBUAH KARANGAN BIOGRAFI...

Fuhhhh.. Letih buat karangan. Teringat kembali nostalgia di zaman sekolah sewaktu menulis karangan biografi. Hari ini saya menulis kembali kenangan itu, tapi dalam konteks yang sebenar, kisah kamera Sony Cyber-Shot saya yang jatuh ke lantai akibat kecuaian saya sendiri, minta maaf kamera digitalku, daku tidak sengaja.


Kamera Sony yang berkecai selepas jatuh terhempas

Saya membeli kamera ini sewaktu melancong ke Langkawi bersama keluarga. Kebetulan ketika itu model Sony Cyber Shot baru dilancarkan. Tambahan pula keluarga saya masih menggunakan kamera berfilem ketika itu, apa salahnya mencuba suatu benda yang baru. Model kamera ni dah susah nak jumpa sekarang, masa nak betulkan pun, orang Sony cakap model ni dah tak keluar dan susah nak betulkan. Apa nak buat, saya dah cuba selamatkannya, tapi tak kesampaian pula.

Selepas memaklumkan kepada Bapak tentang hal ni, beliau terus membekalkan bajet untuk membeli kamera yang baru. Emm.. Kamera apa yang nak beli ye? Saya pun meminta pandangan rakan-rakan di Facebook, kalau-kalau ada cadangan yang ok. Namun rakan-rakan memberi cadangan yang sangat TERBAIK!! Ramai yang mencadangkan kamera jenis Digital Single-Lens Reflex (DSLR). Satu cadangan yang baik, tapi.. Bajetnya terlalu tinggi.. Maaf ye kawan-kawan.. Hehe..

Setelah membuat kajian kecil tentang model-model kamera terbaru, tercanggih, dan termurah, saya terus ke kedai kamera untuk mendapatkan model terbaru itu. Alhamdulillah.. Kamera itu ada di sebuah kedai (KY DIGITAL). Lalu saya membelinya.

Di kedai KY DIGITAL, Sunway Carnival Mall

Mempersembahkan Sony Cyber-Shot model DSC-W320! (gambar kamera kat atas sekali). Harganya RM 699. Brother kedai tu kata model ni baru 3 minggu keluar, kira masih fresh lagi la ye.. Warna hijau menjadi pilihan, sebab warna silver dah biasa, dan ada satu lagi warna pink, pink? Dapat memory stick 2Gb dan beg kamera sekali. Saya tak tahu sangat nak cerita pasal specification kamera ni, banyak yang kena belajar lagi. Tapi mungkin gambar di bawah dapat membantu.

Klik gambar untuk lebih nampak

Syukur pada-Mu Ya Allah kerana memberikan kurniaan ini. Terima kasih Bapak kerana memberi bajet membeli kamera ini. Moga kamera ini dapat berkhidmat lama dengan ku. Idaman qalbu, nak beli kamera DSLR, model Nikon D5000. Insya-Allah ada rezeki nanti, bolehlah saya memilikinya pula ye..


Kamera idaman.. Nikon D5000

Ada sesiapa yang boleh cadangkan dekat mana nak belajar pasal fotografi? Berminat la..


SELAMAT BERKHIDMAT DSC-W320 HIJAU KU!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.