"Satu hari, seorang budak miskin dapat keputusan SPM 18A. Tak payah nak meminta-minta, semua nak bagi biasiswa kat dia. JPA, Petronas, semua nak taja dia belajar. Semua ni kerana usaha dia", kata seorang pembayan di Markas Penanti.

"Sama juga untuk orang muslim. Kalau kita buat usaha untuk sebarkan agama Allah, jaga 5 amal, InsyaAllah.. Allah akan bagi 'biasiswa' kat kita. Allah akan hantar kita berdakwah ke seluruh alam", sambung pembayan itu..

BACA SETERUSNYA>>


Madrasah Manabi'ul U'lum Penanti menjadi tumpuan karqun pada setiap hari Jumaat bermula dari selepas Asar sehinggalah selepas waktu Dhuha di pagi Sabtu. Aktiviti di markas Tabligh Penanti dimulakan dengan Bayan Asar. Selepas itu Bayan Maghrib, Bacaan Hayatus Sahabah dan Bayan Subuh pada keesokkan harinya. Saya turut serta mendengar bayan di sana.

HIJAB

"Malaikat Jibril a.s mempunyai 7000 atau 70 000 hijab sebelum berjumpa Allah s.w.t. Apabila Jibril a.s mahu melepasi hijab itu, pasti dia akan terbakar", pembayan memulakan bayan berkenaan hijab hamba dengan Allah s.w.t

"Malaikat pun dah ada 7000 atau 70 ribu hijab, kita insan biasa lagi la banyak hijab kita dengan Allah.. Tapi Allah bagi kelebihan kat manusia, sesiapa yang dapat buat amal, sedikit-sedikit Allah akan angkat hijab kita dengan-Nya. Malaikat tak boleh singkap hijab, sebab malaikat tak buat dakwah", sambung pembayan lagi.


"Lihat Nabi s.a.w, setiap hari nabi buat usaha dakwah selama 10 tahun di Mekah. Sampai terangkat semua hijab nabi dengan Allah. Ulama kata hijab nabi dengan Allah hanya sedekat sebusur anak panah. Bila hijab dah terangkat, Allah jemput nabi naik ke Arasy untuk bagi perintah solat. Ini semua kerana usaha dakwah yang Nabi buat dengan mujahadah", kata pembayan lagi.

Hidup kita ini penuh dengan hijab kepada Allah s.w.t. Kerana itulah kita sukar mendapatkan pertolongan Allah. Hal ini kerana kita terlalu bergantung dengan makhluk untuk memberi kejayaan kepada kita.

Setiap perlakuan dosa dan tidak yakin dengan Allah s.w.t akan menambahkan 1 hijab dengan Allah. Bagi menyingkap hijab itu, dakwah perlu dilakukan selain amalan-amalan yang berterusan kepada Allah.

BELENGGU


"Sewaktu tidur, syaitan akan mengikat kita dengan 3 simpulan. Simpulan pertama akan putus bila kita baca doa bangun tidur. Yang kedua pula putus bila ambil wuduk dan yang ketiga putus apabila kita solat subuh. Cuba bayangkan kalau kita tak pernah bangun subuh, berapa banyak belenggu yang ada dalam diri kita ni?", pembayan bertanya kepada karqun.

Belenggu yang ada dalam diri menghalang dari mendapat rahmat Allah s.w.t.

Saya masih ingat lagi sewaktu mengikuti program ESQ 165. Dr. Ari Ginanjar Agustian mengatakan di dalam hati manusia terdapat satu tempat yang dikenali dengan "GOD SPOT". Setiap dari manusia mempunyai naluri semula jadi untuk mengenal TUHAN. Tetapi terdapat satu lingkaran yang menghalang daripada hati menjiwai peranan GOD SPOT itu.

Lingkaran itu dinamakan belenggu. Dan mungkin belenggu inilah yang yang dimaksudkan sebagai hijab oleh pembayan.


Belenggu yang dimaksudkan dalam model ESQ 165 ialah:

1) Prasangka Negatif
2) Prinsip Hidup
3) Pengalaman
4) Kepentingan
5) Sudut Pandangan
6) Perbandingan
7) Fanatisme

Dari segi ibadat dan iman pula, belenggu atau hijab sering dikaitkan dengan kualiti dan kuantiti amalan seseorang. Sekali kita lupakan Allah, satu hijab akan terbentuk antara kita dengan Allah, maka kita akan semakin jauh. Sekali kita bertaubat dan beramal, satu hijab akan terbuka antara kita dengan Allah, maka kita akan lebih dekat dengan Allah dan mudah mendapat pertolongan-Nya.

BIASISWA DARI ALLAH

Teorinya adalah sama. Usaha dan terus usaha. Sangat jarang mendapat kejayaan jika tidak berusaha. Tak kira pelajar atau pun pekerja, semuanya perlu berusaha mendapatkan kejayaan dari Allah s.w.t. Jika mendapat rezeki dan kejayaan tanpa usaha, itu adalah kurniaan dari Allah yang memberi tanpa diminta dan mengharap.

Ya Wahab.. Ya Razak..

Terlalu sedikit hamba-Mu yang bersyukur. Jadikan kami antara hamba-hamba-Mu yang bersyukur dan mempunyai hijab yang minimum antara kami dengan Mu. Jadikan kami antara insan yang bertungkus lumus menyampaikan berita kebesaran-Mu.

1 Teori.. Yakin dengan Allah dan berdakwah bermujahah. Pasti dan pasti hijab akan terbuka!! InsyaAllah!

Terimalah lagu HANYUT dari kumpulan UNIC.. Jangan kita terus hanyut dari fitnah dunia dan terbuai dengan fatamorgana.. InsyaAllah..



BIASISWA DARI ALLAH SWT

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.