"Bantulah kawan kita yang kat dalam rumah tu! Jangan asyik borak kat luar jer", kata Bapak kepada kawan-kawannya.

"Sedekahkanlah Al-Fatihah untuk dia, itu jelah yang boleh kita bantu", sambung Bapak lagi.

Pagi itu, seorang penduduk kampung saya meninggal dunia. Ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat Si Mati. Saya juga turut serta dalam majlis pengkebumian jenazah itu. Saya tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan jenazah itu, hanya datang untuk memberi penghormatan terakhir sahaja.

BACA SETERUSNYA>>


SUASANA DI DALAM RUMAH

Suasana di dalam rumah amat sayu sekali. Linangan air mata membasahi pipi waris, saudara terdekat dan sesiapa sahaja insan yang terasa dengan kehilangan Si Mati. Bacaan surah Yassin tidak putus-putus kedengaran. Tidak ketinggalan juga bibir sentiasa terkumat-kamit dengan bacaan Al-Fatihah yang dihajatkan untuk disedekahkan kepada jenazah buat bekalan di 'sana'.

SUASANA DI LUAR RUMAH

Di luar rumah lain ceritanya. Ramai yang berteduh di bawah pokok dan menghisap rokok. Agak jauh dari situ terdapat sekumpulan orang yang sedang berbual-bual dan agak mengecewakan saya, kadang kala mereka ketawa.

Apakah makna semua ini?

Seorang saudara muslim sedang diuruskan untuk dihantar ke 'sana', tetapi kita yang menjadi saudara seMUSLIMnya hanya bergelak ketawa? Adakah majlis-majlis pengebumian dijadikan tempat untuk bertanya kabar kerana lama tidak berjumpa dan bercerita gosip-gosip hangat? Nauzubillah..


"Bapak tak gemar nak berborak-borak kat rumah orang meninggal, lebih baik kita bantu saudara kita yang meninggal tu, dia memerlukan pertolongan kita. Apa salahnya sedekahkan Al-Fatihah daripada berborak-borak cam tu ", kata Bapak kepada saya.

LUPAKAN PERISTIWA DULU

"Bapak bila dengar dia meninggal, bapak senyum je", kata Bapak.

"Kenapa senyum?", tanya saya yang keliru dengan kata-kata tadi.

"Salah-silap arwah dah bapak maafkan secara automatik", jawab Bapak. Saya masih keliru.

"Dulu.. Arwah pernah pinjam duit dengan MARA buat berniaga, arwah mintak bapak jadi penjamin pinjamannya. Lepas dapat duit, arwah tak berniaga tapi beli TV dan peti ais. Marah betullah bapak time tu. Bukan nak berniaga, tapi beli barang", terang Bapak kepada saya.

"Pastu apa yang jadi?", tanya saya untuk mendapatkan kesinambungan cerita.

"Apa lagi, kalau tak bayar duit pinjaman siaplah. Datanglah pegawai MARA dengan pengawal, siap bawak senapang lagi. Peminjam tak boleh bayar, penjamin la kena bayar", Bapak menyudahkan ceritanya.

Satu pengajaran! Maafkan salah dan silap orang yang telah tiada.

Tindakan Bapak yang memaafkan dan menghalalkan hutang Si Mati amat menyentuh hati saya. Bukan mudah seseorang itu untuk memaafkan kesalahan orang lain terutamanya kesalahan itu melibatkan harta benda dan maruah diri.

Moga Allah mengurniakan sifat pemaaf kepada kita semua.. Amin..

MENGAPA MENGHINA?

"Saya mendapat khabar berita, Sultan Johor, Sultan Iskandar telah mangkat sebentar tadi. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Al-Marhum", kata Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UiTM ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kelab Dan Persatuan UiTM 2009.

Ketika itu, saya juga berada dalam majlis yang sama. Bersama-sama hadirin yang hadir di Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam, kami membaca Al-Fatihah kepada Al-Marhum.

Keesokkan harinya. Blogger yang menggelarkan dirinya sebagai 'Aduka Taruna' telah menulis kata-kata yang cukup kesat dan kontroversi kepada Al-Marhum Sultan Iskandar. Selepas di'basuh' di ruangan komennya, beliau memadamkankan entri tersebut dan membuat permohonan maaf.

Mujur saya di antara pengunjung blognya yang sempat membaca entri yang menghina Al-Marhum sebelum dipadam oleh Aduka Taruna. Saya tidak pasti apakah kesalahan yang dilakukan oleh Al-Marhum kepada beliau sehinggakan beliau sanggup mengeluarkan kata-kata seperti itu.

Mungkin kerana marah dengan musuh-musuh politiknya (UMNO), beliau sanggup mengatakan sedemikian rupa kerana beranggapan Raja-Raja Melayu berpihak kepada UMNO. MUNGKIN!!

Terlajak Perahu Boleh Diundur. Terlajak Kata Buruk Padahnya!!

Beliau akan didakwa di atas kesalahannya itu. Moga penulisan saya terhindar dari perkataan-perkataan yang berbaur kontroversi. Amin!


Seburuk mana pun kesalahan seseorang itu, kita seharusnya menjadi pemaaf yang memaafkan kesalahanya. Lebih-lebih lagi apabila orang itu sudah 'tiada'. Kerana kita tidak tahu sama ada kita membuat salah kepada orang lain tanpa kita sedari. Moga-moga dengan memaafkan orang lain, dosa-dosa kita akan terhapus dan dapat membukakan pintu hati orang lain untuk memaafkan kita pula.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.