[sumber : google]

"Berapa harganya, Auntie?", saya bertanya.

"Dua ringgit saja", beliau menjawab dengan senyuman.

Petang itu, saya ke kedai runcit untuk membeli Masking Tape. Semasa mahu membayar di kaunter, saya memerhatikan senaskah surat khabar berbahasa China yang dibaca oleh wanita Cina itu (tauke kedai). Bukannya mahu membaca, malah saya sendiri tidak tahu apa yang dituliskannya. Tetapi ada suatu perkara yang membuatkan saya terfikir.


Apa yang dibaca oleh wanita Cina itu?

Di dalam akhbar itu, saya ternampak gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Apa yang ditulis saya sendiri tidak pasti. Yang pastinya, berita di dalam akhbar Cina itu berkisar tentang masalah politik yang melanda orang Melayu. Manakan tidaknya, gambar ahli politik berbangsa Melayu tertera di dalam akhbar itu, pasti hal politik yang dibincangkannya.

Apa yang dibincangkan, saya tidak tahu. Entah benar atau tidak.

Saya terfikir apakah kita bangsa Melayu ini tidak berasa segan apabila bangsa lain memerhatikan gelagat bangsa kita? Bangsa Melayu berpecah dan bergaduh. Perbawaan sikap kepartian yang menebal menyebabkan bangsa Melayu ini tidak dapat membezakan yang mana kawan yang mana lawan. Runsing saya memikirkannya.

Sudahlah berpecah, beritanya pula sampai kepada kaum lain. Mungkin mereka bertepuk tangan melihat bangsa Melayu bergaduh, siapa tahu?

ANALOGI JAWI, TAMIL DAN CINA

Mari kita letakkan 3 naskah akhbar yang masing-masing berbahasa Melayu, Tamil dan Cina. Akhbar di dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi, Tamil menggunakan tulisan Tamil, manakala akhbar Cina dengan tulisannya sendiri.

Ternyata akhbar berbahasa Melayu dapat dibaca oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tidak kira dari kaum mana sekalipun kerana menggunakan tulisan Rumi. Apabila hal ini berlaku, segala yang dibincangkan di dalam akhbar berbahasa Melayu (khasnya isu hak Melayu) dapat dihadam oleh kaum lain juga. Maka, timbullah berita yang mengatakan bangsa Melayu terlalu rasis mempertahankan hak mereka.

Bagaimana pula dengan bangsa lain? Adakah mereka tidak membincangkan survival kaum mereka?

KE MANA HILANGNYA TULISAN JAWI?

Di bangku sekolah rendah dahulu, saya dan rakan-rakan di sekolah diajar untuk menulis dalam tulisan Jawi. Kini, ilmu ini semakin dilupakan dan makin hilang dimamah usia. Akhbar Utusan Melayu yang ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi pula dilihat kurang memberi impak kepada bangsa Melayu. Persoalannya ialah berapa ramai lagi bangsa Melayu yang dapat membaca jika ditulis dalam tulisan Jawi?


Mungkin ada yang dapat membaca dalam tulisan jawi tetapi jumlahnya tidaklah seramai mana. Ianya adalah satu kerugian kepada bangsa Melayu kerana kehilangan 'identiti' bangsanya. Ke mana hilangnya tulisan Jawi yang menjadi identiti orang-orang Melayu itu?

Kelemahan menguasai tulisan Jawi dilihat sebagai satu kerugian kepada bangsa Melayu. Jika kita melihat bangsa India, mereka dapat menulis dalam tulisan Tamil begitu juga bagi kaum Cina, mereka mempunyai jati diri yang tersendiri yang dapat menyatukan bangsa mereka.

MEREKA 'SENYAP' KITA 'TERBUKA'

Isu-isu berbangkit di kalangan bangsa mereka (bukan Melayu) sendiri dapat dibincangkan secara 'senyap' tanpa kaum lain mengetahuinya dengan menggunakan tulisan dan akhbar mereka sendiri. Berlainan pula dengan bangsa Melayu mengenengahkan isu bangsanya, bangsa lain turut merasai kehangatan isu itu gara-gara skop pembaca yang lebih besar (penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Rumi).

Tidak hairanlah kempen oleh kaum bukan Melayu semasa Pilihanraya lebih berkesan kerana mereka menggunakan 'jati diri' mereka sendiri tanpa diketahui oleh bangsa lain. Mereka juga kurang dianggap rasis kerana  isu-isu mereka hanya diketahui oleh mereka sendiri.

Kini kaum lain sedang bersatu padu tatkala bangsa Melayu semakin berpecah gara-gara fahaman politik. Mereka bersatu kerana bangsa, Melayu berpecah pula kerana bangsa dan agama. Walhal bangsa dan agama itu mempunyai satu keajaiban yang tidak terhingga hebatnya jika umat Melayu tahu mempraktikkanya.

Bilakah Melayu kembali bersatu?

MEMARTABATKAN MELAYU-ISLAM!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.