Radix Fried Chicken


"Aduh.. Terliur pulak tengok ayam kat RFC ni. Pergi RFC jom esok", saya berkata kepada teman selepas melihat promo RFC di internet.

"Nak ikut, nak ikut. Aku pun nak ikut gak", kata teman yang lain yang kebetulan mendengar perbualan kami tentang rancangan ke RFC.

"Boleh gak pergi. Dah lama sebenarnya nak pergi RFC ni. Esok pagi kita pergi", kata teman yang lain.

"SETTT!! Esok kita gerak!!", semua bersetuju dengan semangatnya. Pengembaraan kami pun bermula.

BACA SETERUSNYA>>


PERJALANAN KE RFC SG. PETANI

Perjalanan yang lancar bermula dari Pangsapuri Idaman dan melalui Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Plaza Tol Sg. Petani Selatan. Alhamdulillah. Perjalanan mengambil masa selama 45 minit sangat mencabar dek kepanasan sinaran matahari dan kelaparan yang teramat sangat sewaktu di atas motorsikal lagi.

Sudah lama saya ingin mencuba RADIX FRIED CHICKEN ini. Peluang seperti ini tidak akan saya sia-siakan untuk mencuba resepi atau produk daripada HPA Sdn. Bhd. Produk 100% MUSLIM dan BUMIPUTERA pastinya menjadi alternatif yang ditunggu-tunggu oleh setiap orang bergelar muslim. Walaupun saya antara yang ketinggalan mencuba produk ini.

Gelagat di RFC..

Baru sahaja dapat makanan

Bagaikan dah lama tak makan

Antara yang dipesan

Antara yang dipesan adalah set Combo B yang berharga lebih kurang RM 53. Apa yang menarik untuk dikongsi, ayam FRC adalah ayam yang dibela secara organik. Kerana itulah dagingnya agak putih daripada ayam yang sedia ada sekarang.

KOMEN UNTUK RFC

Secara keseluruhannya adalah baik. Bukan mudah untuk membuka restoran ayam goreng organik dan Islamik, pastinya banyak cabaran dan wang yang dikeluarkan semata-mata untuk memberi alternatif kepada orang Islam bagi memperoleh makanan yang halalan toyyibah. Jadi perlulah kita menyokong RFC.

Ayam RFC adalah ayam organik dan digoreng dengan tepung herba. Rasanya agak kurang sedap dari ayam KFC, tetapi dari segi khasiat pastinya RFC lebih baik, InsyaAllah..

Khasiat Ayam Organik RFC

Coleslow RFC agak kurang menjadi tetapi boleh diperbaiki. Meshed Potato atau kentang putarnya banyak menggunakan herba dan kerana itulah rasanya agak ke arah herba sedikit. Pasti tidak dilupakan ialah Radix Cola yang kurang gas. Sos RFC amat saya puji kerana ianya sedap dan setanding dengan sos cili LIFE yang femous itu.

Sos Cili HPA

Untuk penerangan dengan lebih terperinci lagi tentang menu-menu di atas, bolehlah ke website rakan saya, Saudara Fitri. Penerangan yang lebih mantop..

RFC terdapat 3 cawangan iaitu 2 di Sungai Petani dan 1 di Shahab Perdana dan akan berkembang dari semasa ke semasa. Dengar cerita di cawangan di Johor pula akan dibuka. Moga-moga usaha yang murni ini dapat diteruskan lagi. Cawangan yang terhad menyulitkan pemberian alternatif kepada MUSLIM. Tetapi kami faham dengan keadaan RFC yang sedang berkembang.

Saya berharap juga agar RFC tidak hanya bergantung dengan status HALAL nya. Jika status ini dipegang bagi mendapatkan pergantungan bisnes, saya kuatir RFC kurang menjaga kualiti produk dan tidak terasa untuk meningkat kualiti produknya. InsyaAllah RFC akan setanding dengan KFC dan restoran fast food yang lain.

Terima kasih kepada Pidin, Fitri, Najiy, Azahari dan Faiz kerana sudi bersama-sama dalam 'pengembaraan ke RFC' ini. Terima kasih kepada Fitri dengan bekalan foto-foto yang diambil semasa kita di sana.

Moga RFC Maju Jaya!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Biasiswa Dari Allah


"Satu hari, seorang budak miskin dapat keputusan SPM 18A. Tak payah nak meminta-minta, semua nak bagi biasiswa kat dia. JPA, Petronas, semua nak taja dia belajar. Semua ni kerana usaha dia", kata seorang pembayan di Markas Penanti.

"Sama juga untuk orang muslim. Kalau kita buat usaha untuk sebarkan agama Allah, jaga 5 amal, InsyaAllah.. Allah akan bagi 'biasiswa' kat kita. Allah akan hantar kita berdakwah ke seluruh alam", sambung pembayan itu..

BACA SETERUSNYA>>


Madrasah Manabi'ul U'lum Penanti menjadi tumpuan karqun pada setiap hari Jumaat bermula dari selepas Asar sehinggalah selepas waktu Dhuha di pagi Sabtu. Aktiviti di markas Tabligh Penanti dimulakan dengan Bayan Asar. Selepas itu Bayan Maghrib, Bacaan Hayatus Sahabah dan Bayan Subuh pada keesokkan harinya. Saya turut serta mendengar bayan di sana.

HIJAB

"Malaikat Jibril a.s mempunyai 7000 atau 70 000 hijab sebelum berjumpa Allah s.w.t. Apabila Jibril a.s mahu melepasi hijab itu, pasti dia akan terbakar", pembayan memulakan bayan berkenaan hijab hamba dengan Allah s.w.t

"Malaikat pun dah ada 7000 atau 70 ribu hijab, kita insan biasa lagi la banyak hijab kita dengan Allah.. Tapi Allah bagi kelebihan kat manusia, sesiapa yang dapat buat amal, sedikit-sedikit Allah akan angkat hijab kita dengan-Nya. Malaikat tak boleh singkap hijab, sebab malaikat tak buat dakwah", sambung pembayan lagi.


"Lihat Nabi s.a.w, setiap hari nabi buat usaha dakwah selama 10 tahun di Mekah. Sampai terangkat semua hijab nabi dengan Allah. Ulama kata hijab nabi dengan Allah hanya sedekat sebusur anak panah. Bila hijab dah terangkat, Allah jemput nabi naik ke Arasy untuk bagi perintah solat. Ini semua kerana usaha dakwah yang Nabi buat dengan mujahadah", kata pembayan lagi.

Hidup kita ini penuh dengan hijab kepada Allah s.w.t. Kerana itulah kita sukar mendapatkan pertolongan Allah. Hal ini kerana kita terlalu bergantung dengan makhluk untuk memberi kejayaan kepada kita.

Setiap perlakuan dosa dan tidak yakin dengan Allah s.w.t akan menambahkan 1 hijab dengan Allah. Bagi menyingkap hijab itu, dakwah perlu dilakukan selain amalan-amalan yang berterusan kepada Allah.

BELENGGU


"Sewaktu tidur, syaitan akan mengikat kita dengan 3 simpulan. Simpulan pertama akan putus bila kita baca doa bangun tidur. Yang kedua pula putus bila ambil wuduk dan yang ketiga putus apabila kita solat subuh. Cuba bayangkan kalau kita tak pernah bangun subuh, berapa banyak belenggu yang ada dalam diri kita ni?", pembayan bertanya kepada karqun.

Belenggu yang ada dalam diri menghalang dari mendapat rahmat Allah s.w.t.

Saya masih ingat lagi sewaktu mengikuti program ESQ 165. Dr. Ari Ginanjar Agustian mengatakan di dalam hati manusia terdapat satu tempat yang dikenali dengan "GOD SPOT". Setiap dari manusia mempunyai naluri semula jadi untuk mengenal TUHAN. Tetapi terdapat satu lingkaran yang menghalang daripada hati menjiwai peranan GOD SPOT itu.

Lingkaran itu dinamakan belenggu. Dan mungkin belenggu inilah yang yang dimaksudkan sebagai hijab oleh pembayan.


Belenggu yang dimaksudkan dalam model ESQ 165 ialah:

1) Prasangka Negatif
2) Prinsip Hidup
3) Pengalaman
4) Kepentingan
5) Sudut Pandangan
6) Perbandingan
7) Fanatisme

Dari segi ibadat dan iman pula, belenggu atau hijab sering dikaitkan dengan kualiti dan kuantiti amalan seseorang. Sekali kita lupakan Allah, satu hijab akan terbentuk antara kita dengan Allah, maka kita akan semakin jauh. Sekali kita bertaubat dan beramal, satu hijab akan terbuka antara kita dengan Allah, maka kita akan lebih dekat dengan Allah dan mudah mendapat pertolongan-Nya.

BIASISWA DARI ALLAH

Teorinya adalah sama. Usaha dan terus usaha. Sangat jarang mendapat kejayaan jika tidak berusaha. Tak kira pelajar atau pun pekerja, semuanya perlu berusaha mendapatkan kejayaan dari Allah s.w.t. Jika mendapat rezeki dan kejayaan tanpa usaha, itu adalah kurniaan dari Allah yang memberi tanpa diminta dan mengharap.

Ya Wahab.. Ya Razak..

Terlalu sedikit hamba-Mu yang bersyukur. Jadikan kami antara hamba-hamba-Mu yang bersyukur dan mempunyai hijab yang minimum antara kami dengan Mu. Jadikan kami antara insan yang bertungkus lumus menyampaikan berita kebesaran-Mu.

1 Teori.. Yakin dengan Allah dan berdakwah bermujahah. Pasti dan pasti hijab akan terbuka!! InsyaAllah!

Terimalah lagu HANYUT dari kumpulan UNIC.. Jangan kita terus hanyut dari fitnah dunia dan terbuai dengan fatamorgana.. InsyaAllah..



BIASISWA DARI ALLAH SWT

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Bantulah Kawan Kita Tu!!


"Bantulah kawan kita yang kat dalam rumah tu! Jangan asyik borak kat luar jer", kata Bapak kepada kawan-kawannya.

"Sedekahkanlah Al-Fatihah untuk dia, itu jelah yang boleh kita bantu", sambung Bapak lagi.

Pagi itu, seorang penduduk kampung saya meninggal dunia. Ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat Si Mati. Saya juga turut serta dalam majlis pengkebumian jenazah itu. Saya tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan jenazah itu, hanya datang untuk memberi penghormatan terakhir sahaja.

BACA SETERUSNYA>>


SUASANA DI DALAM RUMAH

Suasana di dalam rumah amat sayu sekali. Linangan air mata membasahi pipi waris, saudara terdekat dan sesiapa sahaja insan yang terasa dengan kehilangan Si Mati. Bacaan surah Yassin tidak putus-putus kedengaran. Tidak ketinggalan juga bibir sentiasa terkumat-kamit dengan bacaan Al-Fatihah yang dihajatkan untuk disedekahkan kepada jenazah buat bekalan di 'sana'.

SUASANA DI LUAR RUMAH

Di luar rumah lain ceritanya. Ramai yang berteduh di bawah pokok dan menghisap rokok. Agak jauh dari situ terdapat sekumpulan orang yang sedang berbual-bual dan agak mengecewakan saya, kadang kala mereka ketawa.

Apakah makna semua ini?

Seorang saudara muslim sedang diuruskan untuk dihantar ke 'sana', tetapi kita yang menjadi saudara seMUSLIMnya hanya bergelak ketawa? Adakah majlis-majlis pengebumian dijadikan tempat untuk bertanya kabar kerana lama tidak berjumpa dan bercerita gosip-gosip hangat? Nauzubillah..


"Bapak tak gemar nak berborak-borak kat rumah orang meninggal, lebih baik kita bantu saudara kita yang meninggal tu, dia memerlukan pertolongan kita. Apa salahnya sedekahkan Al-Fatihah daripada berborak-borak cam tu ", kata Bapak kepada saya.

LUPAKAN PERISTIWA DULU

"Bapak bila dengar dia meninggal, bapak senyum je", kata Bapak.

"Kenapa senyum?", tanya saya yang keliru dengan kata-kata tadi.

"Salah-silap arwah dah bapak maafkan secara automatik", jawab Bapak. Saya masih keliru.

"Dulu.. Arwah pernah pinjam duit dengan MARA buat berniaga, arwah mintak bapak jadi penjamin pinjamannya. Lepas dapat duit, arwah tak berniaga tapi beli TV dan peti ais. Marah betullah bapak time tu. Bukan nak berniaga, tapi beli barang", terang Bapak kepada saya.

"Pastu apa yang jadi?", tanya saya untuk mendapatkan kesinambungan cerita.

"Apa lagi, kalau tak bayar duit pinjaman siaplah. Datanglah pegawai MARA dengan pengawal, siap bawak senapang lagi. Peminjam tak boleh bayar, penjamin la kena bayar", Bapak menyudahkan ceritanya.

Satu pengajaran! Maafkan salah dan silap orang yang telah tiada.

Tindakan Bapak yang memaafkan dan menghalalkan hutang Si Mati amat menyentuh hati saya. Bukan mudah seseorang itu untuk memaafkan kesalahan orang lain terutamanya kesalahan itu melibatkan harta benda dan maruah diri.

Moga Allah mengurniakan sifat pemaaf kepada kita semua.. Amin..

MENGAPA MENGHINA?

"Saya mendapat khabar berita, Sultan Johor, Sultan Iskandar telah mangkat sebentar tadi. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Al-Marhum", kata Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor UiTM ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kelab Dan Persatuan UiTM 2009.

Ketika itu, saya juga berada dalam majlis yang sama. Bersama-sama hadirin yang hadir di Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam, kami membaca Al-Fatihah kepada Al-Marhum.

Keesokkan harinya. Blogger yang menggelarkan dirinya sebagai 'Aduka Taruna' telah menulis kata-kata yang cukup kesat dan kontroversi kepada Al-Marhum Sultan Iskandar. Selepas di'basuh' di ruangan komennya, beliau memadamkankan entri tersebut dan membuat permohonan maaf.

Mujur saya di antara pengunjung blognya yang sempat membaca entri yang menghina Al-Marhum sebelum dipadam oleh Aduka Taruna. Saya tidak pasti apakah kesalahan yang dilakukan oleh Al-Marhum kepada beliau sehinggakan beliau sanggup mengeluarkan kata-kata seperti itu.

Mungkin kerana marah dengan musuh-musuh politiknya (UMNO), beliau sanggup mengatakan sedemikian rupa kerana beranggapan Raja-Raja Melayu berpihak kepada UMNO. MUNGKIN!!

Terlajak Perahu Boleh Diundur. Terlajak Kata Buruk Padahnya!!

Beliau akan didakwa di atas kesalahannya itu. Moga penulisan saya terhindar dari perkataan-perkataan yang berbaur kontroversi. Amin!


Seburuk mana pun kesalahan seseorang itu, kita seharusnya menjadi pemaaf yang memaafkan kesalahanya. Lebih-lebih lagi apabila orang itu sudah 'tiada'. Kerana kita tidak tahu sama ada kita membuat salah kepada orang lain tanpa kita sedari. Moga-moga dengan memaafkan orang lain, dosa-dosa kita akan terhapus dan dapat membukakan pintu hati orang lain untuk memaafkan kita pula.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Mengembara Bersama iLuvislam


"Eh! Dah keluar rupanya tabloid iLuvislam ni", kata saya kepada rakan saya di sebelah.

"Apa lagi.. Belilah", saya terus mencapai naskah berharga RM 2 itu dan terus membayarnya di kaunter kedah majalah myNews.

Kebetulan ketika itu, rombongan saya bersama rakan-rakan (peserta Majis Anugerah Persatuan Dan Kelab Cemerlang UiTM 2009 di UiTM Shah Alam) berhenti bersarapan di Restoran Jejantas Sg. Buloh. Bagi mendapat mood pagi, maka saya pun pergi ke kedai majalah dan surat khabar untuk mendapatkan berita-berita 'segar' pada pagi itu.

BACA SETERUSNYA>>


Tiada satu pun akhbar tempatan yang ada dijual. Mungkin belum sampai lagi kot fikir saya. Yang ada hanya majalah iLuvislam sahaja lalu saya membelinya.

"Macam pernah dengar je nama ni. Ooo.. iLuvislam ni yang ada website sendiri tu ye? Pernah bukak website ni dulu", terang Hasif kepada saya selepas membelek-belek naskah iLuvislam ini.

Saya membiarkannya membelek-belek dan membaca naskah itu dulu. Jangan diganggu moodnya untuk membaca, dan saya punyai banyak masa lagi untuk membacanya.

PENGEMBARAAN SAYA DI iLuvislam.com

Pengembaraan saya di website www.iluvislam.com bermula pada 30 Jun 2009, selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan sewaktu menyertai Rakan Pusat Islam (RPI) dahulu.

Saya menggunakan nama sendiri dalam username saya, iaitu jamalrafaie89. Saya tidak gemar menggunakan nama samaran dalam akaun-akaun maya saya kerana dalam pengamatan saya, penggunaan nama samaran lebih banyak terjerumus kepada budaya penulisan yang tidak bertanggungjawab.

Baling Batu Sembunyi Tangan.

Ramai yang saya lihat menulis secara kasar dan mencarut di sana-sini. Termasuklah di laman web iLuvislam sendiri. Tidak salah mempunyai pendirian sendiri, tetapi perlulah bertanggungjawab dengan apa yang kita tulis itu. Bukannya bising ketika ramai, senyap bila bersendiri.

Ruangan forum menjadi tumpuan, terutamanya 'thread' berkenaan siasah dan isu semasa. Pada pandangan dan pengamatan saya, ruangan forum siasah ini banyak dijadikan tempat mengutuk dan memburuk-burukan politik tanah air. Tidak dinafikan saya juga pernah ber'perang' di ruangan forum dengan insan-insan yang menyamar dengan nama-nama samaran. Sehinggakan ada yang memberi Private Message kepada saya dengan kata-kata yang amat kesat.

Semasa berforum, sebaik mungkin saya akan mengolah ayat yang baik dan bersopan untuk memberikan pandangan saya. Tapi apakan daya, ada insan yang kurang senang dengan fahaman yang berbeza nampaknya. Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya.

Sejak dari itu, saya kurang berminat untuk berforum lagi di iLuvislam.com, dan hanya membaca artikel yang berfaedah sahaja. Kepada rakan-rakan di forum, ingatlah pesan admin sebelum memulakan pengembaraan di website ini:

"Jangan Lupa Membaca Bismillah dan Berselawat Kepada Nabi S.A.W. Semoga Pengembaraan Anda di iLuvislam.com DiBerkati Allah..Ameen.."

Amin Ya Rabbal A'lamin.. Saya meneruskan pengembaraan.

TABLOID iLUVISLAM

Tabloid iLuvislam dimulakan penerbitannya dengan keluaran edisi pengenalannya. Naskah sulong ini bertemu semua pada November 2009 dengan harga pengenalan hanya RM1. Selama 2 bulan merehatkan diri, majalah iLuvislam edisi pertama diterbitkan pada 23 Januari 2010.

Edisi Pengenalan

Banyak input-input yang menarik dalam naskah (Januari 2010) terbaru ini. Antaranya 'Fahaman Islam: Mengapa Kita Berbeza?', 'Sebut Allah" Mengapa Sensitif?', 'Apa Akan Terjadi Dunia Tanpa Azan?' dan banyak lagi. Apa yang paling menarik ialah rencana tentang pengasas laman web ini yang disisipkan bersama dalam naskah ini.

Dapatkan buah tangan terbaru dari Karangkraf ini dengan harga RM2 sahaja. Naskah ini akan diterbitkan setiap minggu bermula dari bulan Februari nanti. Pastinya tidak rugi memilikinya.

Saya sisipkan juga video promosi iLuvislam.com. Selamat mengembara kepada anda semua. InsyaALLAH..



Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang

Rindu Bau Pohon Tin


"Aik? Dah sampai UiTM Shah Alam?", kata saya di dalam hati.

Perjalanan dari UiTM Pulau Pinang ke UiTM Shah Alam tidak terasa lama kerana ditemani buku Rindu Bau Pohon Tin karangan Ust Hasrizal Abdul Jamil. Alhamdulillah.. Berjaya juga saya menghabiskan keseluruhan buku ini sepanjang perjalanan. Tidak disangka, masa berada dalam bas terisi dengan bacaan yang berfaedah dan masa terasa sangat singkat. Tidak hanya tidur sahaja.

BACA SETERUSNYA>>


Bagaikan berada di dalam bas yang dinaiki Ust Hasrizal untuk ke Universiti Mu'tah (Jordan), saya diulit bayang seperti bersama beliau ketika perjalanan ke Tanah Hitam Mu'tah seperti yang diceritakan di dalam buku ini.

BICARA TENTANG PENULIS


Ust HASRIZAL ABDUL JAMIL. Lebih dikenali dengan gelaran Abu Saif. Dilahirkan di Ipoh pada 14 April 1975. Anak didik Sekolah Izzuddin Shah ini, menyambung pelajaran di Universiti Mu'tah, Jordan di bidang Syariah dan pengajian Islam. Tidak puas dengan segulung ijazah, beliau meneruskan diarinya dengan berhijrah ke United Kingdom, lalu berkhidmat sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara, di bawah pembiayaan al-Maktoom Foundation, UAE.

Kini beliau menerajui syarikat perundingannya sendiri iaitu Saifulislam Training and Consultancy. Blog saifulislam.com diasaskan oleh Abu Saif pada 1998, menjadi medan utama beliau berinteraksi dengan masyarakat dengan motonya "ERTI HIDUP PADA MEMBERI".

MU'TAH, JORDAN

Tempat ini mempunyai sejarahnya sendiri. Peristiwa yang bersejarah terjadi apabila peperangan Mu'tah berlaku di sebuah lembah yang berhampiran dengan Kota Karak, Jordan. Ianya berlaku pada 8 Hijrah disebabkan oleh pembunuhan Harith Bin Umair Al-Azdi yang merupakan utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra.

Dipendekkan cerita, tentera Islam yang dipimpin oleh Zaid Bin Harithah seramai 3 ribu orang menentang tentera musuh yang diketuai oleh Harcules seramai 100 ribu orang. Nisbah yang tidak seimbang bagi pejuang Islam tetapi hebat semangatnya.

Sebelum berangkat ke medan peperangan, Rasulullah s.a.w telah mengarahkan kepada para pejuang Islam tentang giliran kepimpinan dalam kumpulan pejuang Islam itu.

Giliran Pemimpin Sewaktu Perang Mu'tah:

1) Zaid Bin Harithah
2) Ja'afar Bin Abi Talib
3) Abdullah Bin Rawahah

Selepas ketiga-tiga pemimpin ini gugur, para tentera dibenarkan untuk memilih pemimpin di antara mereka. Seorang demi seorang gugur di medan peperangan, dan akhirnya Khalid Bin Al-Walid dilantik menjadi pemimpin mereka.

"Susunan itu memberi petanda bahawa mereka semua bakal syahid!" hati Ust Hasrizal bermonolog.

MENARIK PERHATIAN SAYA

Dalam mengupas buku tulisan Abu Saif ini, ingin saya kongsikan serba sedikit tentang cerita yang terdapat dalam buku ini.

1) TABIAT MANDI TIGA EMPAT HARI SEKALI

"Berjimatlah menggunakan air, kita di Jordan kekurangan air. Belajar-belajarlah mandi ala kadar sahaja, tiga empat hari sekali", kata AJK yang menyambut mereka (Abu Saif) ketika memberi taklimat 'selamat datang'.

Sukarnya mengubah tabiat mandi tiga empat kali sehari kepada tiga empat hari sekali.

Kalau boleh mandi yang wajib-wajib sahaja.

Jordan negara yang kering kontang tetapi beriklim 4 musim. Bekalan air akan disalurkan hanya 1 hari dalam seminggu. Selalunya pada hari Jumaat air akan disalurkan. Tidak hairanlah bila tiba hari Jumaat, rumah Abu Saif dan rakan-rakan seakan-akan berhari raya.

Mandi, memasak, membasuh pakaian. Semuanya bagaikan dibuat sehari-harian kerana susahnya mendapatkan air di sana. Bagaimanakah kita di Malaysia? Air ada setiap hari, pastinya banyak pembaziran.

2) SISTEM PEMBELAJARAN DI JORDAN

Sistem pembelajaran di Jordan mewajibkan para pelajar menghadiri kuliah dan kelas. Para pelajar hanya dibenarkan tidak menghadiri kelas sebanyak 6 kali sahaja. Jika tidak, pelajar akan di'bar' daripada menduduki peperiksaan akhir semester. Ianya sama seperti sistem universiti sekarang.


Berlainan dengan Universiti Al-Azhar Mesir, sistem di universiti itu tidak mewajibkan para pelajarnya ke kuliah.

Sistem 'wajib' ke kuliah banyak mendisiplinkan pelajar. Sekurang-kurangnya mereka akan mendengar 'celoteh' para pensyarah dan mendapat rahmat dari Allah kerana menghadiri majlis ilmu. Di samping itu, banyak perbincangan di dalam kelas tidak terdapat di dalam kitab, maka hadir ke kuliah adalah bonus yang wajib dikejar.

3) GUGURNYA PEJUANG DI MEDAN PERJUANGAN

Tidak semua yang diimpikan berakhir dengan kegembiraan. Tarikh 9 Jun 1995, 5 sahabat Ust Hasrizal telah terkorban dalam nahas jalan raya. Lebih memilukan, kesemua yang terkorban sedang dalam perjalanan ke rumah Ust Hasrizal. Jiwa mana yang tidak sedih atas kehilangan orang yang tersayang?

Siaran secara langsung di TV3 ketika itu mengiringi penerbangan membawa pulang 5 pejuang muda yang terkorban itu.

4) MATI ATAU KAWIN?

Di Jordan, ibu bapa meletakkan mahar yang terlalu tinggi kepada si lelaki yang mahu menyunting anak perempuannya. Sehinggakan ada yang sanggup meminta mahar sebanyak 2 Kg emas yang menjadi bebanan yang perit untuk ditanggung oleh si lelaki itu menyediakannya.


Bagi yang tidak mampu, mereka lebih rela menjadi askar kerajaan untuk dihantar berkhidmat. Apabila habis tempoh berkhidmat, mereka akan diberi pampasan dan ianya membolehkan mereka berkahwin. Itupun kalau sempat, mana tau masa bertugas telah gugur.

Mati atau kawin! Dilema yang sangat berat.

Tidak hairanlah di Jordan, suami akan memukul si isteri selepas berkahwin. Agaknya untuk menggertak isteri supaya tidak main-main kerana suami mengumpul duit setengah mati semata-mata untuk mengahwininya. Hai.. Macam-macam..


5) ULAMA DAN PERJANJIAN DAMAI JORDAN-ISRAEL 1994

Ulama yang membantah kerajaan Jordan akan dipenjarakan. Itulah yang berlaku apabila perjanjian damai Jordan-Israel di menterai. Soalnya satu, apabila ada perjanjian, Jordan secara tidak langsung akan terikat dengan Yahudi dan perlu mengikut semua telunjuk Yahudi.

Hal inilah yang menjadi perjuangan para ulama di Jordan yang mendesak supaya kerajaan tidak tunduk kepada Israel.

Selepas itu, tiada lagi khutbah bersemangat dan membangun jiwa apabila semua ulama dilarang memberi khutbah. Akhirnya, khutbah menjadi nyanyian tidur para jemaah kerana dikawal oleh kerajaan Jordan.

KESIMPULAN

"Saya rindukan bau pohon tin"

Itulah kata-kata Ust Hasrizal yang membuatkan beliau menulis buku ini untuk mengubat rindu di hati. Apabila membaca buku ini, ianya membuatkan saya bersemangat untuk menyambung pelajaran di luar negara. CABAR DIRI DAN CARI PENGALAMAN.

Menggunakan ayat yang santai, Ust Hasrizal berjaya membawa pengalaman beliau ke dalam fantasi para pembaca. Dengan harga RM18.00, ianya sangat bermakna kerana dapat membeli seribu pengajaran yang dapat dijadikan pedoman dalam hidup yang singkat ini.

Selepas ini, InsyaAllah, saya akan membaca buku 'Aku Terima Nikahnya' pula. Semoga usaha yang sedikit ini dapat merapatkan diri kita kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Al-Fatihah Buat Luqman Hakim

Belasungkawa buat Saudara Luqman Hakim bin Zamalolaily yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 11.15 pagi tadi (21/1/2010) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Allahyarham telah mengalami kemalangan pada petang semalam (20/1/2010).

Innalillahiwainnailahirajiuun..

Allahyarham adalah junior saya di SBPI Sabak Bernam dahulu. Sudah lama tidak berjumpa tetapi memori indah tetap bersama. Jenazah akan dikebumikan selepas Asar ini.

Al-Fatihah kepada allahyarham.. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. InsyaAllah.. Moga-moga kita mengambil pengajaran dan iktibar dalam hal ini dan berdoa agar mendapat husnul khatimah.. InsyaAllah..

Mengubah Sempadan Iman

"Kenapa beli buku ni? Dah nak pergi haji ke?', soal Mama kepada saya.

"Hehe.. Kalau ada rezeki pergi haji mesti la nak, buku ni cerita pasal pengalaman seorang Prof. semasa mengerjakan haji di Baitullah", jawab saya.

"Ooo.. Mama baca dulu boleh?", Mama bertanya kepada saya.

"Ok.. Bacalah. Kalau tak de masa, satu hari satu bab pun cukup", cadang saya pula.

Baca seterusnya>>


Alhamdulillah.. Selesai juga menghabiskan buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman (THMSI). Buku ini saya tinggalkan di rumah buat menemani Mama di rumah. Di kampus (UiTM Penang), kebetulan seorang sahabat mempunyai buku ini juga, lalu saya meminjam untuk membacanya.

BICARA TENTANG PENULIS

Prof. Muhd Kamil Ibrahim adalah seorang Profesor Perakaunan UiTM dan sekarang bertugas sebagai Pengarah Kampus UiTM Johor. Beliau menjadi Profesor semasa berumur 38 tahun. Beliau juga menulis buku Ibrahim Shah : Menyingkap Pengurusan Universiti. Di dalam catatan beliau ini, beliau banyak menceritakan kelemahan dirinya seperti tidak tahu membaca Al-Quran.

Pernah suatu hari, beliau berkata kepada guru Al-Qurannya yang bernama Hafizi :

"Hafizi, di dunia ini, Allah memberi kemuliaan secukupnya kepada saya. Saya jadi Profesor ketika berumur 38 tahun. Saya ada PhD. Walau bagaimanapun, di akhirat esok, saya mungkin orang yang hina di sisi-Nya. Saya tidak pandai baca Al-Quran. Ajarlah saya. Apabila Hafizi berjaya ajar saya sehingga pandai, banyak pahala. Tahun hadapan saya hendak ke Mekah. Saya hendak pergi dalam keadaan saya pandai membaca Al-Quran"
(THMSI, Muka Surat 156)

Beliau juga menceritakan bahawa sepanjang berkahwin dengan isterinya, bapa mertuanya tidak mengetahui bahawa beliau tidak tahu membaca Al-Quran. Sehinggalah pada suatu hari bapa mertuanya datang ke rumahnya dan kebetulan Prof. Muhd Kamil sedang belajar Al-Quran. Mujurlah bapa mertuanya memberi galakan kepada beliau untuk terus membaiki diri.

PENGEMBARAAN KE TANAH SUCI

Prof. Kamil ditemani isterinya Roza, kakaknya Kak Mie dan adik perempuannya Azlina. Begitu banyak pengalaman yang diceritakan di dalam THMSI ini, antaranya istiqamah solat di saf pertama, dipermudahkan mencium Hajarul Aswad, kemudahan melontar, khatam Quran di hadapan Kaabah, dan lain-lain lagi.


Cerita mengenai bagaimana beliau terpilih menjadi tetamu Allah juga menarik. Dengan menggunakan kuota menteri yang pertama kali mencubanya, beliau terus mendapat tawaran mengerjakan Haji dengan berkat solat tahajud sepanjang tahun.

Pengalaman beliau apabila dibaca, memberi kesan kepada si pembaca itu sendiri. Saya sendiri terasa seperti berada di Mekah apabila membacanya. Tidak dinafikan, buku ini adalah antara buku pengalaman ke Tanah Suci yang terbaik yang pernah ditulis.

ULASAN PERIBADI

Saya dapat menyimpulkan buku ini perlu dibaca dan dihayati oleh setiap muslim. Buku ini juga menceritakan tentang bagaimana seorang yang jahil dalam urusan agama dapat merasai kemanisan iman dan mengubah sempadan iman seseorang.

Yang penting adalah usaha, semangat belajar dan istiqamah.

Prof. Kamil juga menyenaraikan empat amalan utama yang dapat memantapkan iman mengikut perspektif beliau:

1) Solat berjemaah
2) Puasa Sunat
3) Qiamulail
4) Membaca Al-Quran

Buku terbitan PTS PUBLICATION & DISTRIBUTORS SDN BHD ini dijual dengan harga RM 26.00 sahaja. Tidak salah jika kita melabur dengan membeli buku-buku yang berfaedah dan memupuk iman. Jadi.. Dapatkan segera kepada sesiapa yang belum memilikinya.

Ya Allah.. Semoga aku pula dipilih untuk menjadi tetamu-Mu Ya Allah.. Ameen..

Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Gerhana Dan Solat Sunat Kusuf


"Salam.. Ust.. Esk PI (Pusat Islam) ade buat solat sunat gerhana ke?", tanya saya kepada Ust Daud menerusi sms.

"Wasalam.. X pasti lak.Gerhana tu waktu mana?", jawab Ust Daud.

"Dalam brite ckp 3.01 ptg sampai pkl 5++.. Gerhana maksimum dalam pukul 4.26 ptg", balas saya semula.

"Nanti ust bincang dengan Ust Zamri ye", Ust Daud menyimpulkan kata-katanya.

Baca seterusnya>>

GERHANA MATAHARI

Fenomena gerhana matahari dijangka akan berlaku pada hari jumaat (15.1.2010), bermula 3.01 petang sehingga 5.38 petang dengan fasa pertamanya berlaku pada 3.01 petang dan mencapai tahap gerhana maksimum jam 4.26 petang.


Gerhana terjadi bukannya menunjukkan bala Allah s.w.t, tetapi adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya. Gerhana matahari terjadi apabila bulan selari dan berada di tengah-tengah antara bumi dan matahari. Maka cahaya matahari akan terlindung oleh bulan daripada sampai ke bumi dan terjadilah gerhana matahari.

Gerhana bulan pula terjadi apabila bulan berada selari dengan matahari dan bumi tetapi terseling di belakang bumi. Hal ini akan menyebabkan cahaya matahari tidak dapat dipantulkan oleh bulan dan terjadilah gerhana bulan.

SOLAT KHUSUF DAN SOLAT KUSUF

Solat gerhana disebut dalam bahasa Arab sebagai KHUSUF bagi bulan, dan KUSUF untuk matahari. Yang bermaksud hilanglah cahaya bulan atau matahari.

Dari Aisyah r.ha berkata. Nabi s.a.w bersabda "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah"
(Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Cara solat ini agak berlainan kerana terdapat sedikit penambahan.

CARA SOLAT SUNAT GERHANA

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah

3. Rukuk

4. I'tidal

5. Baca Al-Fatihah dan surah

6. Rukuk.

7. I'tidal.

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.

2. Baca Al-Fatihah dan surah.

3. Rukuk.

4. I'tidal,

5. Baca Al-Fatihah dan surah.

6. Rukuk.

7. I'tidal.

8. Sujud

9. Tahiyyat Akhir


Solat sunat gerhana ini adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang dituntut. Solat ini juga menunjukkan kita tunduk dengan kekuasaan Allah s.w.t di atas kuasa-Nya mentadbir alam semester ini.

Mudah-mudahan dengan kurniaan gerhana ini, dapat meningkatkan lagi keimanan kita dalam mentaati perintah Allah s.w.t.

RUJUKAN : Ust Azhar Idrus di ustazazhar.com/


Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang
14 Januari 2010

Makcik Masak Untuk 50 Orang?


"Makcik.. Makanan tak cukup, baru 24 orang makan dah habis dah. Kami order untuk 40 orang", tanya Roy kepada Makcik Bedah menerusi telefon bimbitnya.

"Ha?? Makcik buat untuk 50 orang tau, kenapa boleh tak cukup?", jawab Makcik Bedah.

Baca seterusnya>>

Malam itu (9.1.2010), kami serumah mengadakan jamuan kecil di rumah sewa kami. Jemputan yang hadir terdiri daripada JPK Zamrud dan kawan-kawan Kenny Rogers. Persiapan jamuan bermula dari sebelah pagi apabila kami ke Tesco untuk membeli barang2 memasak.


Kami hanya menyediakan menu-menu sampingan untuk tetamu. Untuk menu utama kami meminta jasa baik Makcik Bedah untuk menyediakannya disebabkan kami tidak mempunyai peralatan memasak yang mencukupi.

MALAM JAMUAN

"Ambik sorang satu je ye", Roy meminta jasa baik para jemputan untuk ber'disiplin' sewaktu mengambil makanan kerana kebiasaannya ramai yang tidak berdisiplin ketika mengambil makanan. Tidak ingat orang di belakang.

Bukannya kedekut atau berhelah. Maklumlah, bukan suatu kebiasan pelajar membuat membuat jamuan untuk rakan2. Ini adalah pengalaman pertama saya tinggal di rumah sewa selepas 5 semester menginap di Kolej Zamrud.

Pertama kali masak sendiri dan buat jamuan untuk kawan-kawan. Pengalaman yang cukup berharga.

"Roy.. Nasi dah habis", kata seorang tetamu kepada Roy.

Kata-kata itu mengejutkan kami, kami menempah makanan untuk 40 orang, tetapi baru 24++ orang makan, nasinya sudah habis sehingga ke kerak nasi. Pastinya banyak masalah yang berlegar di dalam benak fikiran kami.

Tanpa membuang masa, Fitri dan Roy terus keluar mencari makanan di luar untuk menampung jumlah tetamu yang akan tiba tak lama lagi.

Tiada mampu kami berbuat apa-apa ketika itu, hanya berserah kepada Allah s.w.t untuk memudahkan cara.


Sambil menunggu makanan tambahan tiba. Saya teringat dengan cerita burung Hud-Hud yang ingin menjamu seluruh makhluk ketika zaman Nabi Sulaiman a.s dahulu..

HUD-HUD MENJAMU NABI SULAIMAN A.S DAN TENTERANYA

Pada suatu hari burung Hud-Hud berkata pada Nabi Sulaiman a.s, "Aku bercadang hendak mengundang engkau menghadiri jamuan makan pada suatu hari yang ditentukan". Nabi Sulaiman a.s berkata "Hanya diriku?". Hud-Hud menjawab, "Bawalah bersama bala tenteramu."

Pada hari yang ditetapkan, Nabi Sulaiman a.s bersama bala tenteranya pun berangkat menuju ke jamuan yang diadakan burung Hud-Hud. Apabila Nabi Sulaiman dan bala tenteranya sampai di tempat Hud-Hud, iapun terbang ke udara dan menghilangkan diri buat beberapa ketika.

Kemudian ia datang semula dengan seekor belalang di paruhnya. Belalang itu dimatikan dan terus dilempar ke laut. Setelah itu, iapun berkata kepada Nabi Sulaiman a.s, "Wahai nabi Allah, silakan makan bersama bala tenteramu. Sesiapa yang tidak dapat merasai daging belalang, memadailah dia merasa kuahnya sahaja." Nabi Sulaiman a.s ketawa dengan gelagat Hud-Hud ini dan dikatakan baginda ceria setiap kali teringat akan penjamuan Hud-Hud itu.

ALLAH MAHA MEMBERI REZEKI (AR-RAZAK)

Kemampuan makhluk untuk memberi makan kepada semua makhluk sangat terbatas. Saya sangat terkesan dengan peristiwa yang berlaku ke atas kami serumah. Kita semua sangat lemah dan sangat miskin.

Allah Maha Kaya dan Maha Memberi Rezeki.

Pernahkah kita berfikir dan merenung bahawa jumlah ikan-ikan di laut tidak pernah berkurang sedikit pun. Walhal setiap hari para nelayan akan menangkap ikan-ikan tersebut untuk dijual di pasar dan menjadi makanan kita sehari-harian? Para nelayan juga sibuk menangkap ikan tanpa menyusahkan diri untuk memberi ikan-ikan itu makan.

Setiap hari juga manusia akan menyembelih ayam dan memakan telurnya dengan jumlah yang sangat banyak. Tetapi jumlah ayam dan telur juga tidak habis-habis.

Begitu juga dengan beras, lembu, kambing, sayuran dan lainya di makan manusia dengan pelbagai resepi masakan namun ternakan dan tanaman itu masih juga tidak pupus.

Memang benar ada manusia yang menjaga dan menternak haiwan-haiwan itu, tetapi tanpa kekuasaan-Nya, manusia tidak akan mendapat manfaatnya. Inilah bukti betapa luasnya khazanah gudang kekayaan Allah s.w.t.

Kita perlu mengambil pengajaran dan bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t.


Peristiwa ini mengingatkan saya tentang lemahnya kita untuk memberi makan kepada orang lain. Jamuan ini juga dapat mengeratkan ukhuwah sesama rakan-rakan yang kami tidak lagi bersama mereka dalam perwakilan. Menjemput tetamu datang ke rumah juga menambahkan rezeki (sabda nabi).

Katakanlah (wahai Muhammad) "Sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki"
(Surah Saba : 39)

Terima kasih kepada Roy, Fitri dan Kecek di atas kesungguhan menjayakan jamuan kecil-kecilan kita. Kepada rakan-rakan yang lain yang tidak bersama kami pada malam itu, janganlah bersedih, murah rezeki kita akan buat lagi. InsyaAllah.. Terima kasih juga kepada makcik di atas kesudian menyediakan makanan buat kami semua.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang
13 Januari 2010

Kisah Langkah Tercipta


"Ketika itu, saya baring di atas katil, sambil mengenangkan ujian-ujian Allah kepada saya, dari situlah saya mendapat idea mencipta lagu Langkah Tercipta", kata Bazli sewaktu bercerita kepada kami di dalam bas semasa Kembara Amal UNIC Ke Utara (24-26 Disember 2009).

Lagu berjudul Langkah Tercipta dari kumpulan UNIC telah dilancarkan pada tahun 2009. Lagu ini adalah lagu dan album yang terbaru kumpulan UNIC. Untuk pengetahuan semua, lagu ini juga telah dinobatkan sebagai juara Carta Nasyid IKIM berminggu-minggu lamanya.

Baca seterusnya>>

KISAH LANGKAH TERCIPTA

Ianya bermula sewaktu Fitri UNIC mengumumkan pemergian Saudara Bazli ke Mesir kerana melanjutkan pelajaran di sana. Konsert UNIC di USM Transkrian adalah persembahan terakhir Bazli sebelum berangkat ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Air mata berjujuran keluar dari mata tatkala mendengar pengumuman itu. Bazli lama di dalam UNIC, tiba masanya mereka berpisah, siapakah yang tidak bersedih?


"Manakan saya tidak sedih, saya terpaksa meninggalkan perkara yang saya sukai (bernasyid), dah bertahun-tahun lamanya saya bersama UNIC, dari awal penubuhannya sampailah sekarang", suasana sayu menyelubungi semua pendengar di dalam bas itu sewaktu Bazli memulakan kisahnya.

"Di Mesir, saya diuji dengan berbagai-bagai ujian, ujian yang paling besar ialah sewaktu musim peperiksaan akhir semester pertama. Saya mengalami demam yang sangat teruk, sampai saya tak boleh bangun dari katil", cerita Bazli.

"Saya mula demam sebelum 2 hari paper sirah, saya memang tak larat nak study, bila baca kitab memang saya tak tahu nak baca apa. Sampailah hari exam tu, saya masih demam lagi, saya tak larat nak menjawab exam, saya pesan kat kawan, bagi tau pensyarah, saya tak dapat hadir exam", tambah Bazli yang dipanggil BAI di kalangan rakan-rakan.

SEMESTER KEDUA

"Pada semester kedua, saya tak diuji apa-apa ujian pun, Allah tak bagi ujian kat aku ke?, terdetik dalam hati saya berkata begitu", Bazli meneruskan ceritanya.

Sewaktu itu, Bazli sedang makan bersama kawan-kawannya.

"Selepas hati saya terdetik berkata begitu, tanpa disangka-sangka saya tercekik tulang ikan yang saya makan, dengan hanya tulang ikan yang kecil itu, saya merana selama 3 hari. Banyak cara saya cuba, telan nasi kepal, minum air banyak2, semua tak berjaya. Sampailah tulang tu hilang sendiri. Saya silap, kita semua jangan sekali-kali mencabar Allah. Allah itu Maha Kuasa, semuanya mampu Dia buat", nasihat Bazli kepada kami.

"Berdasarkan pengalaman ujian ini, saya mendapat ilham menulis lagu 'Langkah Tercipta'. Inilah lagu berdasarkan pengalaman saya. Selepas diuji oleh Allah s.w.t, saya dapat balik ke Malaysia dengan kejayaan dan berjumpa kembali dengan rakan2 saya", Bazli menyudahkan kisahnya.

LANGKAH TERCIPTA

Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan,
mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

Allah…
Inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,
haruskah aku mengalah,
namun jiwaku berbisik,
inilah dugaan.

Dan langkahku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),
tak dilontarkanNya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

Allah…
Pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku,
kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
padaMu ku meminta.

Daku mohon agung kudratMu,
wahai Tuhan yang satu,
segalanya dariMu.

Lagu : Bazli
Lirik : Bazli & Atie

...TERIMALAH...




Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang

Related Posts with Thumbnails

My blog has moved!

Blog Ini Akan Dipindahkan Ke Blog Baru Dalam Masa 5 Saat. Lawati
http://jamalrafaie.com